fbpx

Tahniah diucapkan buat pelakon Anita Baharom yang sah bergelar isteri kepada pasangan pilihan, Engku Isyamuddin Tuan Losin dengan sekali lafaz dalam satu majlis diadakan di Dewan Bizmilla Hall, Subang Jaya kira-kira 11.40 pagi semalam.

Bagaimanapun, ada netizen mempersoalkan tindakan pelakon itu yang kembali mendirikan rumah tangga apatah lagi belum cukup setahun bergelar ibu tunggal.

BACA: Anita Baharom Selamat Bernikah, Pilih Duda Anak 8 Sebagai Pasangan

Memetik Astro Gempak, Anita berkata dia tidak mengambil serius tentang apa diperkatakan netizen kerana perkahwinannya itu tidak melanggar hukum serta sudah mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak terlebih dahulu.

“Bagi saya, perkahwinan yang kami bina ini langsung tidak melanggar hukum. Untuk apa nak takut dengan cakap orang. Saya dan suami buat perkara yang sepatutnya dan menghalalkan hubungan kami itu lebih baik.

“Kami berdua lebih tahu diri kami macam mana. Malah, kalau ikut hukum hakam pun tiada salah. Tiada juga dalil yang kata kalau tak cukup setahun bergelar ibu tunggal itu berdosa untuk bernikah.

“Alhamdulillah segala keputusan diambil bukan daripada saya sendiri, saya minta pendapat ahli keluarga terdekat dan saudara mara juga.  Mereka kata hubungan baik elok dipercepatkan, tak baik ditangguh. Itu yang bagus dan lebih afdal,” katanya.

Dalam pada itu, Anita berharap melalui perkahwinan kedua ini dia akan menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik serta menyifatkan ianya dunia baru buat dirinya.

“Ini merupakan dunia baru untuk saya, ibaratnya Allah beri peluang kedua kepada saya agar menjadi yang lebih baik.

“Saya berazam untuk menjadi isteri yang lebih mithali dan ibu yang baik kepada anak-anak. Termasuk juga anak-anak suami.

“Pengalaman yang lepas sudah cukup indah untuk saya, tapi dengan perkahwinan yang kedua ini saya harap akan menjadi lebih baik dan bertambah indah lagi, Insya-Allah,” katanya.

Difahamkan, suami Anita berstatus duda dan ini merupakan perkahwinan kali kelima buat Engku Isyamuddin. Hasil perkahwinan bersama bekas isteri, Engku Isyamuddin dikurniakan lapan orang cahaya mata.

Suami Anita, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail yang meninggal dunia pada 1 Januari lalu. Hasil perkahwinan Anita bersama Allahyarham Mohd Ismadi, mereka dikurniakan tiga anak, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.