fbpx

“Tiada Anak Tak Sayang Ibu Bapa, Mungkin Syamsul Masih Merajuk”

Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam berkata anaknya yang juga pengarah popular, Syamsul Yusof masih belum berhubung lagi dengannya.

Memetik Harian Metro, Yusof berkata dia memahami dengan situasi Syamsul yang mungkin sedang sibuk dengan pembikinan filem terbarunya, Original Gangster yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.

BACA: “Mana Dapat Berita? Itu Betul-Betul Ke Atau Khabar Angin?” – Yusof Haslam

“Dia tak berhubung dengan kami, mungkin dia sibuk dengan pembikinan filem. Apa saja untuk Syamsul, saya dan ibunya sentiasa mendoakan terbaik. Tidak ada ayah atau orang tua yang mahu melihat kejatuhan anaknya,” katanya.

Sementara itu, Yusof berkata sebagai bapa dia perlu matang untuk berdepan dengan situasi yang melanda keluarganya ini dan tak ada anak yang tidak sayang bapa ibu bapa mereka.

“Sebagai bapa, bila anak bersikap begitu, saya tak boleh bersikap sama. Kita serah pada Allah SWT untuk menentukannya.

“Saya rasa tak ada anak yang tak sayang ibu bapanya. Mungkin dia masih merajuk atau terkilan lagi. Kita dah nak menyambut Ramadan dan Aidilfitri, jadi sentiasalah doakan terbaik kerana setiap kejadian berlaku kita tak boleh ubah takdir,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berkata dia enggan mengulas lanjut bagi menjaga hati beberapa pihak terutama isterinya, Datin Patimah Ismail.

“Saya tak mahu komen lebih nanti ada pihak merajuk. Saya nak jaga hati semua orang terutama isteri. Saya tak mahu hubungan saya dengan isteri menjadi keruh hanya kerana benda ini. Harapnya ada kejernihan dalam hubungan kekeluargaan kami, Insya-Allah,” katanya.