Kumpulan Caliph Buskers yang sedikit ‘terkucil’ apabila menyanyikan lagu Hanya Namamu di Separuh Akhir Muzik Muzik 30 nyata terkilan akan hal tersebut, bagaimanapun memberitahu akan mengkaji dan memperbaiki mutu persembahan mereka di masa depan.
BACA: Caliph Buskers: Kami Bergurau Lebih Kasar Dari Nabil
“Saya sudah buat sehabis baik tetapi terkucil pula. Agak sedikit terkilan tetapi acara tersebut sudah pun berlaku,” kata vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat yang mengakui single mereka itu memang cukup mencabar dari segi vokalnya.
Tambahnya lagi, Edry yang merupakan komposer serta penulis lirik lagu Hanya Namamu mahukan Caliph Buskers mengekalkan nada original kerana dengan nada original membuatkan mereka lebih menghayati lagu tersebut serta tidak mengubah alunan muzik itu sendiri.
Sebagai anggota kumpulan yang baru, Caliph Buskers tetap optimis dan berharap akan terpilih untuk ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu yang bakal diadakan pada 24 Januari depan.
“Harapan kalau boleh, mestilah mahu untuk melangkah ke final AJL, sekiranya tidak berjaya pun tidak mengapa kerana berada di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ini pun sudah baik,” ujar Azmi.
Caliph Buskers yang beraksi pada malam minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 30 bersama-sama dengan 9 buah lagu yang lain bakal mengetahui keputusan penuh pada minggu ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik 30 pada 6 Disember ini. (rtky/h)