fbpx

Terkesan, Namun Bersyukur Dengan Apa Yang Diberikan

Sudah semestinya ramai yang terkesan dengan ancaman dunia yang kini telah menular tanpa mengira peringkat umur. Covid19 bukan lagi satu wabak biasa yang boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi wabak ini mampu mengacam nyawa dalam diam.

Bukan itu sahaja, kesannya dalam sektor pekerjaan juga memberi tamparan paling berbisa bagi individu yang berkerja sendiri mahupun yang makan gaji. Meskipun terkejut dengan kemunculan wabak berbahaya ini, rata-ratanya terpaksa menerima sehingga ada yang diberhentikan kerja gara-gara majikan tidak mampu membayar gaji.

Namun atas keperihatinan Kerajaan terhadap rakyat Malaysia, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) telah pun diberikan secara berperingkat bagi meringankan beban rakyat Malaysia dalam menjalani kehidupan harian.

Kami mendapatkan beberapa pandangan orang awam mengenai faedah BPN 2.0 terhadap mereka. Masing-masing diantara mereka memberi pandangan yang berbeza.

Bagi Puan Fajrina yang pada mulanya berkhidmat di sebuah syarikat perhotelan terpaksa akur dengan kesan wabak ini terhadap dirinya.

” Macam semua tau yang bekerja hotel seperti saya ini sudah tentunya mengharapkan pelancong untuk menginap di hotel tempat saya bekerja. Tapi bila Covid19 ni ada dan pelancong pun kurang, majikan dah tak mampu membayar gaji pekerja dan dalam masa yang sama saya dapat surat untuk meninggalkan kerjaya saya ni”.

“Pada mulanya memang terkejut sebab memang ini sahaja punca pendapatan saya, dengan fikir macam mana nak jalani kehidupan harian bila kerja dah tak ada. Tapi Alhamdullilah ibarat durian runtuh jugalah dapat bantuan dari Kerajaan”.

“Saya memang banyak habiskan duit BPN 2.0 dalam kehidupan harian. Sekarang saya sudah mula berkerja di sebuah kedai dan sudah semestinya anak-anak saya terpaksa hantar ke pengasuh. Jadi duit BPN 2.0 ni lah saya gunakan untuk tampung perbelanjaan harian saya sekeluarga”, kata Puan Fajrina yang sudah lama berkhimat dalam dunia perhotelan.

Lain pula kisahnya dengan Puan Rabbiatul yang banyak menggunakan duit BPN 2.0 untuk membeli kelengkpan barangan melawan Covid19 seperti mask dan handsanitizer.

“Duit BPN 2.0 tu memang guna untuk diri sendiri dan keluarga, dari duit itu juga saya akan guna beli mask, hand sanitizer untuk ahli keluarga di rumah memandangkan arwah ayah ketika tu sakit jadi tak mahu kuman dari kita berjangkit kepada ayah dan ada juga gunakan untuk ulang alik bawa arwah ayah pergi melakukan dialisis”.

“Memang bersyukur sangat dengan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan ni, sedikit sebanyak dapat juga menampung perbelanjaan. Ada lagi satu fasa BPN 2.0 yang kita akan dapat pada awal Januari 2021 ni saya akan gunakan untuk bawa anak saya ke klinik swasta untuk cucuk vaksin pneumococcal. Ni memang sangat penting bagi mereka buat masa sekarang”.

“Risau juga sebab wabak ini tak nampak, jadi tak salah untuk kita ambil perlindungan kepada anak kita yang sentiasa terdedah dengan persekitaran sekarang”, kata Puan Rabiaatul.

Kalau itu pandang orang awam yang berumahtangga, kami juga tak terlepas untuk mendapat pandangan daripada golongan bujang.

Bagi Cik Nuraida yang menetap bersama keluarga, duit BPN 2.0 yang diperolehinya sangat berguna meskipun jika nak dibandingkan tanggungnya kurang sedikit daripada golongan berkahwin.

Dari kanan Cik Nuraida

“Sejujurnya duit yang saya dapat tu memang saya beli sedikit barangan peribadi dan selebihnya saya simpan. Sebab Covid19 ni kita tak tahu akan tamat bila, jadi bila dapat tu memang saya simpan kalau-kalau dugaan lain datang, jadi saya dah ada duit simpanan”.

“Walaupun golongan bujang seperti saya dapat duit BPN 2.0 ni jumlahnya sedikit dari golongan berumahtangga tapi ia tetap dapat membantu saya yang hidup bersama keluarga. Kalau keluarga kurang dari segi kewangan memang duit ini juga yang saya berikan.”

“Apa pun saya berterima kasih kepada Kerajaan kerana tidak terlepas pandang golongan bujang seperti saya dalam bantuan ini”, katanya kepada pihak Rotikaya.

Meskipun berbeza kategori dalam memperolehi bantuan daripada Kerajaan ini, kami yakin bantuan ini sedikit sebanyak membantu anda dalam kehidupan harian anda. Tiada apa yang boleh kita lakukan selain menggunakan duit bantuan ini kejalan yang betul semasa musim Covid19 ini.