fbpx

Terkena Sihir Pemisah, Bella Astillah Akui Hubungan Rumah Tangga Dingin

Baru-baru ini, pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia dan suaminya, Aliff Aziz menjadi mangsa sihir pemisah rumah tangga yang didakwa dihantar oleh seorang wanita tidak dikenali.

Memetik Kosmo, Bella sejak sebulan lalu hubungannya dengan suami juga dingin sehinggalah mereka berjumpa dengan seorang ustaz untuk meminta pendapat.

BACA: Bella Astillah, Aliff Aziz Terkena Sihir Pemisah

“Jujur katakan, ujian ini berat untuk saya.Sudah lebih sebulan kejadian ini berlaku. Sebenarnya saya pun baru sahaja tahu. Jujurnya dahulu saya tidak percaya dengan benda-benda begini (sihir). Tapi selepas 28 tahun hidup dan berlaku ke atas diri sendiri, barulah saya percaya.

“Kata ustaz yang ditemui, saya dan suami terkena sihir pemisah rumah tangga. Sebab itu hubungan kami sejak sebulan lalu tidak okey,”  katanya.

Menurut Bella lagi, ada pihak tidak senang kebahagiaan rumah tangga mereka yang kembali terjalin sehingga sanggup berbuat demikian. 

Malah, ustaz yang merawat mereka meminta supaya tidak mencari individu yang melakukan perkara khurafat itu. Berkongsi lanjut, Bella berkata disebabkan gangguan tersebut dia dan Aliff berdepan mimpi buruk.

“Saya ada mimpi ular. Tetapi Aliff alami mimpi yang lebih buruk. Bayangkan Aliff bermimpi saya bawa balik lelaki di dalam rumah dan nampak saya bergaduh dengan lembaga hitam,” kongsinya.

Dalam pada itu, Bella menyifatkan apa yang berlaku itu adalah ujian buat keluarganya serta tidak menyalahkan mana-mana pihak. Malah, dia juga akan lebih berhati-hati dengan perkongsiannya di media sosial selepas ini.

“Dugaan kali ini lebih berat sebab melibatkan perkara yang saya tidak nampak. Saya anggap kejadian ini sebagai teguran dan ujian untuk diri saya.

“Mungkin sebelum ini saya berkongsi terlalu banyak (kebahagiaan bersama keluarga) sehingga membuatkan ada pihak berasa tidak selesa. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan meminta maaf kalau ada yang kurang senang dengan perkongsian saya,” katanya.