fbpx

Tengah update borang cukai LHDN ke tu? Haa..kami pasti anda sekarang ni mesti dah sibuk nak update borang cukai e-filling tu kan? Teruskan usaha anda itu yer, bukan apa itu kan memang dah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

Macam yang anda tahu, cukai langsung ini adalah cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu atau syarikat. Cukai tersebut dibayar secara terus kepada kerajaan.

Contoh untuk cukai langsung adalah cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah. Badan berkanun yang mengenakan cukai langsung ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Di Malaysia, pendapatan setiap individu akan dikira berdasarkan tahun semasa. Tahun taksiran ialah tahun mengikut kalendar tahunan. Contohnya, tahun taksiran 2020 adalah berakhir pada 31 Disember 2020.

Jadi, setiap hujung tahun tu, individu yang mempunyai pendapatan melebihi RM34,000 setahun dah semestinya sibuk berkira-kira berapa jumlah cukai yang harus dibayar pada tahun tersebut. Ha begitu.

Memandangkan kita sekarang ni tengah bergelut dengan pandemic COVID-19, dalam masa yang sama, kerajaan pun mengumumkan beberapa langkah baru rebat cukai untuk Tahun Taksiran 2020 dalam pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) untuk membantu dan menyokong anda.

Pembelian Telefon Bimbit, Komputer dan Tablet Tak Perlu Bayar Cukai

Seperti yang anda tahu, Matlamat kedua pakej PERMAI adalah untuk Memelihara Kebajikan Rakyat. Jadi apalah gunanya mewujudkan pakej tanpa memberi apa-apa faedah kepada anda kan?

Rileks gais, jangan cepat melatah! Kerajaan melihat pelbagai insentif dan pelepasan cukai berjaya meransang ekonomi dalam beberapa sektor, jadinya selaras dengan keperluan normal baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital, kerajaan suka untuk berkongsi bahawa pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet!

Memang pada mulanya ianya akan berakhir pada 31 Disember 2020 tapi untuk anda, kerajaan lanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Padu kan? Inilah Pelepasan Cukai Khas yang diberikan kerajaan untuk anda.

Pengecualian Cukai Jualan Kenderaan Pun Dilanjutkan

Pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang membabitkan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) turut dilanjutkan untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021 nanti gais.

Langkah ini adalah untuk terus memacu momentum perkembangan sektor automotif.

Kementerian Kewangan pun ada berkata, pengecualian ini membabitkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan yang dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Bagi CBU import baharu dan CBU import terpakai pula, pengecualian 50 peratus cukai jualan dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk MPV dan SUV. Dengan pengumuman ini, SST akan dimansuhkan (sementara) bagi kenderaan CKD dan separuh daripada itu, 5% bagi kereta CBU. Maka, harga kenderaan akan jadi lebih murah.

Pengecualian ini telah mula berkuatkuasa dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021. Ini juga sebahagian langkah merangsang jualan kenderaan di Malaysia, sekali gus menyokong ekonomi negara.

Kurangkan Beban Rakyat

Pengumuman Perdana Menteri mengenai Pakej PERMAI ini sebenarnya untuk meringankan beban rakyat dikala wabak pandemik COVID-19 yang menular sekarang ini.

Dengan adanya pelepasan cukai seperti ini, dapatlah anda menarik nafas lega. Contohnya macam pelepasan untuk pembelian alat digital tu dapat memudahkan anda yang bekerja dari rumah dan juga untuk anak-anak yang bersekolah!