fbpx

“Tak Salah Saya Pilih Watie…InsyaAllah Saya Tahu Mana Baik, Buruk” – Shuib

Pelawak Shuib Sepahtu berharap orang ramai tidak mempertikai keputusannya menjalin hubungan rapat dengan wanita dikenali sebagai Watie Hanifiah.

Memetik BH Online, Shuib berkata dia lebih tahu baik atau buruk setiap keputusan dilakukan dan tidak akan sesekali merosakkan kehidupannya dengan anak-anak.

BACA: Shuib Nafi Bakal Kahwin Hujung Tahun Ini

“Insya-Allah, saya tahu mana baik dan buruk. Saya juga tahu mana okay atau sebaliknya. Namun, saya tidak boleh menolak persepsi orang. Cuma, tidak adil untuk orang luar membuat andaian bukan-bukan, sedangkan tidak mengenali Watie.

“Yang kenal dan dikatakan bercinta dengan Watie adalah saya. Jadi, takkan saya mahu merosakkan kehidupan. Sudah tentu saya akan menjaga kehidupan saya dan anak-anak sebagaimana ketika bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin,” katanya.

Menurut Shuib lagi, dia tahu netizen mengambil berat akan dirinya serta anak-anak namun meminta supaya tidak berlebih-lebihan kerana banyak hati perlu dijaga.

Kata Shuib lagi, keputusan untuk mengenali hati Watie bukan kerana keinginannya sendiri tetapi dia mendahulukan dan memberi keutamaan pada anak-anak serta ibunya.

“Saya fikirkan anak-anak dahulu. Saya mementingkan kesihatan mental mereka. Perjalanan ditempuhi anak-anak sekarang bukanlah mudah, mereka juga perlukan sentuhan seorang ibu.

“Kalau anak-anak gembira, manakala ibu dan keluarga mentua bersetuju, saya akan okay sahaja. Ini kerana saya hanya memikirkan mereka,” katanya.