fbpx

Tak Pernah Meminta, Elyana Terharu Ramai Mahu Hulurkan Bantuan

Baru-baru ini, penyanyi Elyana berkongsikan bakal menjalani sesi kedua rawatan kimoterapi, namun dicadangkan doktor menggunakan ubat khas dimana mencecah RM50,000 untuk satu rawatan. Ujarnya, ubat itu perlu digunakan untuk lima kali rawatan.

Susulan itu, ramai pihak mahu menghulurkan sumbangan bagi menampung kos perubatan kanser limfoma yang dihadapinya. Elyana mengakui segan dan tidak pernah terlintas untuk meminta bantuan orang ramai.

BACA: Elyana Dicadang Guna Ubat Khas Berharga RM50,000

“Jujur saya terharu dan tidak tahu nak kata apa. Ramai mesej (DM) saya dalam Instagram nak hulur bantuan selepas berita mengenai kos ubat yang perlu saya tanggung disiarkan.

“Saya pada awalnya memang tak pernah terfikir atau terlintas apatah lagi mahu meminta belas ihsan daripada orang lain.

“Tapi malam tadi saya dihubungi bekas pengurus syarikat rakaman sebelum ini, Sam Samin yang meminta kebenaran untuk saya untuk mereka siarkan nombor akaun bank bagi mengumpul dana meringankan beban kos perubatan,” katanya.

Menurut Elyana selama bertahun-tahun dia tidak pernah meminta-minta bantuan dan menanggung selagi termampu. Ujarnya, dia tetap akan melakukan rawatan susulan kemoterapi seperti biasa Jumaat ini.

“Kalau ikutkan, Jumaat ini saya dah kena mula ambil ubat khas berupa antibodi berharga RM50,000 itu. Doktor sarankan kena ambil lima kali ikut jadual ditetapkan.

“Jujur buat masa sekarang, saya memang tidak ada sumber kewangan sebanyak itu. Jika dana yang dikumpul dan disumbangkan orang ramai itu mencukupi, saya terus akan dapat ubat tersebut.

“Sebaliknya jika kewangan masih tidak menginzikan, saya tetap akan menjalani rawatan kemoterapi seperti biasa dan terpaksa menangguh dulu hasrat untuk mengambil ubat khas tersebut,” katanya.