fbpx

Elyana Dicadang Guna Ubat Khas Berharga RM50,000

Bakal menjalani sesi kedua rawatan kimoterapi pada Jumaat ini, penyanyi Elyana dicadangkan doktor menggunakan satu ubat khas.

Bagaimanapun, Elyana berkata harga ubat tersebut agak mahal dan mencecah RM50,000 untuk satu rawatan. Ujarnya, ubat itu perlu digunakan untuk lima kali rawatan.

BACA: “Lebih Sebulan Tahan Sakit, Akhirnya Saya Mengalah” – Elyana

“Saya kini dalam perbincangan dengan pihak pengeluar ubat itu mengenai harga atau mendapatkan tajaan separuh harga,”

“Memang pening kepala juga sebab dalam keadaan sekarang, saya sebagai artis pun tak dapat bekerja seperti sebelum ini. Jadi, punca pendapatan terjejas,” katanya.

Berkongsikan keadaan kesihatannya selepas menjalani sesi pertama rawatan kimoterapi minggu lalu, Elyana berkata dia mengalami rabun yang semakin teruk.

“Selepas menjalani kimoterapi pertama, badan saya memang agak lemah. Perut pula rasa agak keras dan itu sedikit sebanyak mengganggu pernafasan.

“Paling saya rasakan adalah mata saya semakin kabur dan itu menyebabkan saya sakit kepala. Kadang-kadang, tengok telefon pun boleh pening. Untuk sel kanser itu mengecut atau tidak, saya belum dapat apa-apa maklumat daripada doktor memandangkan ini baru sesi pertama,” katanya.

Untuk rekod, Elyana menghidap kanser Limfoma tahap empat. Julai lalu, Elyana menjalani rawatan radioterapi pada bahagian hati dan pinggul bagi mengubati kanser dihadapinya sejak 10 tahun lalu.