fbpx

“Tak Perlulah Orang Terdekat Campur Urusan Saya Dengan Fizo”

Selepas tiga bulan bercerai, Fizo Omar mengesahkan restoran Fizomawar Kitchen yang diusahakan bersama bekas isterinya, Mawar Karim akan menamatkan operasi hujung bulan ini.

Namun, timbul khabar angin mengatakan restoran itu akan dibuka semula dan diberi penjenamaan baru. Bagaimanapun, Mawar Karim Menafikan perkara itu dan menegaskan penutupan restoran tersebut adalah muktamad.

BACA: Fizo Omar, Mawar Sepakat Tutup Restoran Fizomawar Kitchen

“Diharapkan sangat lepas ini tiada lagi cerita daripada mana-mana pihak terutamanya yang ada kaitan antara saya atau Fizo mengeluarkan status atau cerita di media sosial yang konon tahu cerita.

“Tidak perlu orang terdekat mencampuri urusan saya dan Fizo. Anda hanya melihat, mendengar tetapi saya dan Fizo sahaja yang tahu dan merasa perkara yang sebenar.

“Erti kata lain, tidak perlu menuang minyak ke dalam api atau jangan menegakkan benang yang basah,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Meskipun banyak menerima cadangan daripada pelanggan yang mahu restoran itu dijenamakan semula namun Mawar berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan serta mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa menyokong.

Dalam pada itu, Mawat berkata meskipun dia dan Fizo tiada lagi ikatan namun mereka akan terus memikul tanggungjawab bersama membesarkan anak mereka, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.