fbpx

“Tak Perlu Umum Dah Pakai Tudung Di Media Sosial” – Pekin

Pelakon Pekin Ibrahim meluahkan rasa syukur isterinya, yang juga aktres, Mona Allen tampil bertudung dengan rela hati sejak beberapa bulan lalu.

Memetik Harian Metro, Pekon mengakui terkejut Mona tiba-tiba bertudung bagaimanapun dia tidak pernah menggesa isterinya untuk berubah secara drastik dan biarlah ianya dilakukan dengan kerelaan hati.

BACA: Mona Allen Selamat Bersalin ‘Baby Merdeka’

“Sebenarnya, saya terkejut juga pada mulanya apabila Mona tiba-tiba saja bertudung. Malah, dia jadi kelam-kabut mencari tudung nak dipakai ketika seorang rakan lelaki saya datang berkunjung ke rumah kami.

“Saya memang tak pernah gesa dia (Mona) untuk pakai tudung, sebab saya nak Mona pakai dengan rela hati. Lagi pula, Mona ada anginnya sendiri dan mana tahu kalau ketika itu dia saja-saja nak cuba pakai tudung,” katanya.

Berharap agar perubahan isterinya berkekalan, bagaimanapun Pekin berkata dia pernah mengingatkan Mona agar tidak mengumumkan mengenai perkara itu di media sosial.

“Saya kata dengan Mona, kalau rela hati pakai tudung itu baguslah. Tapi, tak perlu buat sebarang perkongsian macam pengumuman di media sosial. Sebabnya, mana tahu kalau berlaku sebaliknya nanti (terbuka tudung), mesti dikecam netizen.

“Jadi, buat biasa saja sudahlah tanpa sebarang kenyataan dikeluarkan. Cuma, harapan saya agar dia teruskan penampilan bertudung itu sampai bila-bila,” katanya.

Pekin dan Mona mendirikan rumah tangga pada 7 Disember 2018. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Petra Pekin pada 31 Ogos lalu.