Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila pelakon dan penyanyi Harris Alif memuat naik gambar memegang cincin di hadapan seorang wanita. Timbul spekulasi pelakon itu melamar kekasihnya Intan Ladyana.
Bagaimanapun, foto tersebut hanya gimik semata-mata untuk lagu terbarunya berjudul Anugerah. Meskipun hanya gimik, namun Haris berkata lagu itu juga ditujukan buat kekasihnya.
BACA: Harris Alif Melamar Intan Ladyana?
“Bagi saya biasalah kalau penyanyi nak berkongsi gambar babak-babak dalam muzik video lagu mereka. Bila kita nak keluarkan satu-satu lagu atau projek baru, kita kena bagi sesuatu yang buat orang tertunggu-tunggu.
“Jadi saya boleh katakan ia sebagai gimik juga. Single ini juga saya tujukan buat Intan kerana ia merupakan lagu romantis yang boleh dikaitkan dengan kisah cinta sesiapa jua,” katanya.
Mengulas mengenai hubungan cintanya dengan Intan, Harris berkata mereka dalam perancangan untuk ke fasa seterusnya. Ujarnya, mereka mahu terus melangsungkan pernikahan tanpa majlis pertunangan.
“Memang dari awal perkenalan dengan Intan, kami ada berbual mengenai masa depan dan ikatan perkahwinan. Kami mungkin akan terus melangsungkan majlis pernikahan tanpa bertunang.
“InsyaAllah, saya akan beritahu kepada pihak media bila tiba masanya nanti. Kita tunggu sahaja majlisnya nanti, buat masa sekarang saya memang tak boleh komen mengenai hal itu,” katanya.