fbpx

Dilantik sebagai Duta Yayasan Erth Al-Mustafa, vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie berkongsikan proses sebelum dia bersetuju menerima tawaran tersebut.

Memetik Harian Metro, Awie berkata dia ada bertanya kepada pihak yayasan tersebut adakah mereka tidak menyesal apatah lagi dia pernah terpalit dengan kontroversi.

BACA: Awie Syukur Dapat Sambut Hari Lahir Ke-54 Di Mekah

Menurut Awie, setiap kali menerima tawaran berkaitan keagamaan dia akan meminta untuk melihat semula isu yang pernah membabitkan dirinya.

“Pertama sekali, saya tanya kepada pihak penganjur dan yayasan, ‘Tak menyesalkah melantik saya sebagai duta?’. Saya adalah individu yang ada imej buruk sejak 1980-an lagi. Gengster, pukul isteri, semuanyalah. Macam tak ada punca.

“Bukan kali ini sahaja, setiap kali saya ditawarkan untuk terbabit sebagai duta untuk program berkaitan agama, saya berterus terang dengan mereka. Saya suruh mereka Google dan lihat, apa kejadian-kejadian yang pernah membabitkan nama saya,” katanya.

Dalam pada itu, Awie menjelaskan setiap insiden yang kontroversi terpalit dirinya itu ada sebab dan penjelasan  yang tersendiri.

Ujarnya lagi, setiap apa yang berlaku hanya dia yang tahu jawapannya serta dia mahu menjadi insan lebih baik buat anak-anaknya.

“Tapi, setiap yang berlaku, tentunya ada sebab dan jawapannya hanya ada dengan saya. Saya nak mereka tahu terlebih dahulu sebelum orang lain mempersoal.

“Jawapan yang ada di dalam Google pun, tak habis, sebab saya ada simpan sendiri dan tak hebahkan. Saya nak mereka faham, apa sebab setiap insiden itu berlaku.

“Setiap orang Islam ada jalan pulang untuk kembali ke laluan yang benar. Ini juga takdir Allah yang tentukan saya untuk bertemu dengan mereka dan diberikan kekuatan supaya tidak berputus asa dengan apa yang saya buat. Saya nak jadi manusia yang elok dan contoh kepada enam anak-anak saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Erth Al-Mustafa, Sheikh Imran Angullia berkata setiap manusia tidak terlepas melakukan kesilapan dan pemilihan Awie adalah berdasarkan sumbangannya kepada masyarakat.

“Kerja amal ini untuk semua orang. Setiap individu dari pelbagai profesion, ada sumbangan mereka yang tersendiri. Apabila Datuk Awie bercerita kepada saya mengenai sejarahnya, saya sampaikan kepadanya bahawa yayasan ini berpaksikan dakwah dan kemanusiaan.

“Bagi saya, semua orang ada sejarah lampau. Kalau nak dibandingkan, kesilapan kita dengan kesilapan sebahagian sahabat Rasulullah, mereka terjebat dengan benda yang lebih besar. Namun, Allah menerima taubat hamba-Nya,” katanya.