fbpx

Tak Mahu Cakap Belakang, Hattan Terus Tegur Jika Artis Buat Silap

Lantang bersuara mengenai selebriti dan Instafamous mengambil kesempatan dengan kebenaran rentas negeri, penyanyi Datuk Hattan berkata tegurannya itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

Penyanyi berusia 57 tahun itu berkata tegurannya itu berdasarkan fakta dan bukan hanya sekadar bercakap kosong secara membabi buta.

BACA: Hattan Tegur Selebriti Menunjuk Dapat Rentas Negeri

“Salah ke saya nak tegur? Kalau saya tak tegur, siapa lagi nak buat teguran itu? Saya bukan beri teguran secara membabi buta. Bila saya rasa fakta itu betul, saya akan kongsi dan ia hanya pendapat peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Hattan berkata dia tetap akan bersuara terutama isu melibatkan industri muzik. Ujarnya, dia kurang gemar dengan sikap segelintir artis yang memuji di hadapan tapi mengutuk di belakang.

“Saya akan bersuara… contoh fasal muzik, kalau ada yang tak kena, saya akan tegur dan ia adalah pendapat peribadi saya. Jadi, kalau nak dengar, dengar la. Saya rasa sakit jiwa bila tak ada orang tegur.

“Sesama artis ini asyik memuji sahaja tapi padahal belakang, kutuk lain. Tapi macam saya bukan kutuk, saya hanya beri semangat. Mereka sepatutnya ambil teguran secara positif, anggap ia pembakar semangat untuk masa depan.

“Takkan nak puji sahaja… bila tak puji, jadi menyampah pula. Saya dan rakan senior industri terutama sifu saya iaitu M Nasir selalu berbincang mengenai industri seni. Kalau ada nampak kelemahan, kena la tegur,” ujarnya.