fbpx

“Tak Kisah Status Calon Suami, Cukuplah Seorang Yang Stabil”

Adiknya, Nelydia Senrose terlebih dahulu menamatkan zaman bujang, ramai yang tertanya-tanya bilakah pula giliran Uqasha Senrose untuk mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, Uqasha berkata dia masih mencari calon yang sesuai dengannya.

Menurut Uqasha, dia bukanlah mencari calon suami yang betul-betul sempurna tetapi cukuplah jika lelaki tersebut kena dengan jiwanya. Ujarnya, soal kahwin bukan perkara boleh dibuat main dan tidak mahu perkahwinan berakhir dengan perceraian.

BACA: Luah Rasa Rindu, Kamal Adli & Uqasha Senrose Hangat Bercinta?

“Bukan tak sedia, cuma tak jumpa orang yang betul. Kahwin ni bukan sehari dua, tak naklah sebulan dua bulan, cerai, makan hati, kalau laki tu tak jaga hati. Saya memang jaga bab tu, takut salah pilih orang.

“Saya tak fikir pasal status (calon suami) ke apa, cukuplah seorang yang stabil (kewangan), hormat orang tua, ada agama, setia dan jujur,” katanya kepada HLive!

Dalam pada itu, Uqasha berkata dia tidak mahu terburu-buru untuk mencari jodoh dan buat masa ini dia belum lagi fikirkan soal perkahwinan.

“Ada berkawan, tapi fokus saya sekarang pasal kerja. Kalau hal lain, saya rasa kalau tuhan dah kata itu jodoh kita, ia akan jadi mudah je,” katanya.