fbpx

Tak Kisah Diri Artis, Ayie Floor88 Nak Buka Gerai Tepi Jalan

Kini mengusahakan kedai makan Ayie Elham Cafe bersama isterinya, penyanyi Floor 88, Ayie berkata dia terfikir untuk membuka gerai tepi jalan bagi mengurangkan kos.

Menurut Ayie, dia dan isteri, Nur Natasha Ahmad Nawawi bercadang untuk menjual makanan dari Tawau, Sabah iaitu nasi lalap di sekitar Maxim, Sentul.

BACA: Isteri Mengidam Kuih Raya Tengah Malam, Menggelabah Ayie Floor88 Pergi Cari

“Sekarang saya macam nak merasa berniaga di tepi jalan, buka khemah, sempoi. Berniaga tepi jalan dengan orang ramai jual nasi lalap,” katanya.

Ayei berkata apabila membuka gerai di tepi jalan dia tidak perlu memikirkan kos sewa kedai seperti yang dilakukannya sekarang.

“Hanya buat lesen dan kita pacak khemah tepi jalan. Orang lagi suka. Saya sendiri pun suka beli makanan tepi jalan. Mengapa tidak saya cuba? Kita tak payah nak fikir kita ini artis, orang kenal ke apa sebab sekarang ini semua orang tengah ‘struggle’ tak kisahlah apa kerjaya dia.

“Jadi saya dan isteri ambil pendekatan nak meniaga tepi jalan. Ia memudahkan kerja kita, tak payah fikir kos nak bayar bil elektrik, bil air dan sewa kedai,” katanya.

Memilih lokasi di Maxim Sentul, Ayie berkata banyak gerai dibuka disitu. Ujarnya lagi, panas atau hujan bukan soal utama untuknya mencari rezeki.

“Nasi lalap seperti ayam penyet. Ia sangat popular di Tawau. Bezanya dengan ayam penyet cuma pada sambal dan ayam. Semua orang tengah susah. Kita pun tak terlalu stabil dan tiada untung lebih. Kafe pun baru nak bernafas semula,” katanya.

Terdahulu, Ayie dan isterinya membuka Ayie Elham Cafe pada 2020 di Setapak. Difahamkan, kos pembukaan restoran itu menelan kos kira-kira RM90,000.