fbpx

Syukur! Terima Kasih Mempercepatkan BPN 2.0 Yang Meringankan Beban Kami

Bantuan yang ditunggu-tunggu! Alhamdulilah tarikh 21 Januari lalu, penerima Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0) bersyukur selepas duit bantuan dah pun diberikan pada mereka. Anda lah salah seorang darinya!

Dengan bantuan yang disalurkan kerajaan ini, terutamanya dalam masa PKP 2.0 dilaksanakan sekarang ini, ramai yang menarik nafas lega. Mana taknya, ramai yang terkesan dengan perlaksanaan PKP kali kedua ini. Sampaikan ada yang punca pendapatannya terjejas.

Untuk info anda, bayaran dana berjumlah RM2.38 bilion sudah dikreditkan ke akaun 10.6 juta penerima. Dengan bantuan dana ini, semestinya dapat membantu dan memberi kelegaan kewangan buat anda yang terjejas. Betul tak?

Bukan itu sahaja, bermula 25 Januari lalu pula, kira-kira 750,000 penerima tanpa akaun bank mula menerima BPN 2.0 dari cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung. Padu betul!

Sengaja Mempercepatkan Pembayaran

Pembayaran BPN 2.0 ini sengaja dipercepatkan oleh kerajaan bagi membantu memperbaiki aliran tunai keseluruhan 11.06 juta penerima daripada kalangan bujang dan yang berkeluarga iaitu B40 dan M40.

Perkara ini juga adalah seiring dengan matlamat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang bernilai RM15 bilion yang telah diumumkan PM kita pada 18 Januari lepas.

Terima Kasih Dengar ‘Suara’ Kami!

Dana yang dihulurkan ini juga umpama memberi sinar bahagia buat penerimanya. Macam Basitah Salleh, 29, dia yang bekerja sebagai guru tadika bersyukur kerana bantuan BPN 2.0 ini diwujudkan semula.

“Selepas PKP 2.0 dikuatkuasakan semula, saya susah hati sebabnya gaji saya mengikut kehadiran murid ke sekolah memandangkan saya mengajar di sekolah swasta.”

“Bila sekolah dibuka pun tak ramai murid yang datang sebabnya mereka lebih suka melakukan pembelajaran secara online memandangkan kes COVID-19 masih belum reda.”

“Gaji pun terpaksa dipotong setengah. Dan bila kerajaan hulurkan bantuan BPN 2.0 untuk kategori isi rumah B40 sebanyak RM1,000 ni dapat juga saya beli barang keperluan untuk kami sekeluarga. Dapat juga bantu suami”

Bagi Ridhuan Zailani, 29, walaupun bekerja sebagai penjawat awam, dia ada juga menjalankan perniagaan sampingan dengan menjual laksa.

Memandangkan ekonomi sekarang ni tidak menentu, dengan memulakan perniagaan dapat juga dia buat duit simpanan untuk masa hadapan.

“Alhamdulillah bila adanya BPN 2.0, dapat juga saya melaburkan untuk modal berniaga di samping dapat membantu kos sara hidup saya sekeluarga. Bila kerajaan wujudkan kembali dana ini, memang sangat-sangat membantu.”

Bagi Shahril Adzrin, 35, dia yang ditamatkan kontrak kerja semasa PKP berasa sangat bersyukur dengan dana yang kerajaan hulurkan ini. Mana taknya, dia yang baharu sahaja nak mendirikan rumah tangga berasa sangat terkesan. Baru jer nak mulakan hidup baharu, kerja pula tiada.

“Tipu sangat kalau saya cakap saya tak terkesan bila ditamatkan kontrak kerja, tapi nak buat macam mana bila syarikat pun tak dapat nak tanggung pekerja. Kena redha.”

“Bila dapat dana BPN 2.0 kategori bujang M40 sebanyak RM300 pun dah membantu sangat. Boleh juga saya bayar bil yang tertunggak sementara nak rolling duit untuk dapatkan kerja baru lepas ini.”

Mungkin ada di kalangan kita ni masih lagi bercakap-cakap yang bantuan yang diberi ini tidak mencukupi. Tapi percayalah, amaun yang anda cakap sikit tu lah dapat membantu ringankan sedikit beban bagi mereka yang terjejas.

Mungkin nilai RM50 untuk anda, apa lah sangat. Tapi bagi mereka yang tidak berkemampuan, nilai tu sangatla tinggi. Dapat beli pampers anak pun dah bersyukur sangat. Jadi, gunalah dana yang diberi ini sebaiknya ya!