fbpx

Kembali menjalani aktiviti penggambaran seperti biasa, pelakon dan pelawak Amir Raja Lawak berkata dia serba salah apabila terpaksa menutup gerai menjual minuman sementara waktu.

Ujarnya, dia bercuti berniaga mulai esok memandangkan tidak akan mempunyai masa untuk membancuh sendiri air minuman dijualnya itu.

BACA: Amir Raja Lawak Syukur Bisnes Air Jagung Bantu Orang Cari Duit

“Rasa serba salah juga nak cuti sebab bila saya ‘update’ akan cuti, ramai pelanggan datang tanya bila hari terakhir berniaga. Ada yang beli lebih dari kebiasaan.

“Mereka (pelanggan) pun ada minta saya bagi orang lain jaga gerai sebab senang nak datang beli nanti. Saya tak boleh buat apa sebab air minuman itu saya yang bancuh sendiri.

“Saya ada dua pekerja, seorang jaga gerai dan seorang lagi tolong bancuh. Sebelum ini pun, yang tolong saya niaga adalah kawan kru penggambaran dan dia pun akan start ‘shooting’ cerita sama sekali dengan saya,” katanya.

Bakal menjalani penggambaran di Kota Bharu, Kelantan, Amir berkata dia mahu mengambil peluang untuk luangkan masa bersama keluarganya di sana.

“Saya syukur alhamdulillah sangat-sangat sebab memang rindu dengan suasana penggambaran. Untuk ‘job’ pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, saya akan jayakan supertele bertajuk Hantu Mok Joh.

“Kebetulan lokasinya juga adalah di Kota Bharu. Alang-alang itu, saya terus balik tidur di rumah keluarga untuk lepas rindu, lagipun sudah lama tak balik ke kampung,” katanya.

Merancang untuk menutup perniagaan air minumannya selama sebulan, Amir berkata ada kemungkinan ianya akan berlanjutan jika menerima banyak tawaran.

Saya pasti merindui suasana berniaga dan pelanggan. Tapi, saya mungkin akan sambung cuti berniaga lagi memandangkan saya pun ada juga ejen minuman itu di Seksyen 4, Bangi.

“Pelanggan boleh ke tempat dia juga kalau teringin nak minum air jualan saya. Yang meniaga di sana itu pun adalah Azul iaitu pemain dram kumpulan Stings selepas tahun lalu dia menjadi ejen saya,” katanya.