fbpx

Amir Raja Lawak Syukur Bisnes Air Jagung Bantu Orang Cari Duit

Kini mengusahakan perniagaan Air Jagung Amerreka di tepi jalan, pelawak Amir Raja Lawak gembira dan bersyukur bisnesnya itu dapat membantu orang lain mencari pendapatan tambahan.

Menurut Amir, dia tidak menjangkakan perniagaan air jagung itu dapat memberi manfaat kepada orang lain juga yang turut terjejas pendapatan susulan pandemik.

BACA: Pendapatan Terjejas, Amir Raja Lawak Tak Kisah Jual Air Tepi Jalan

“Sekarang pun ada kawan saya yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja industri membantu saya berniaga. Alhamdulillah, dapat juga saya kongsi rezeki dan tolong ringankan beban keluarga kawan saya di dalam keadaannya tak boleh ‘shooting’ ketika ini.

“Walaupun risau juga terdedah dengan persekitaran kerana kes jangkitan Covid-19 yang masih lagi tinggi, tapi saya ikut SOP ditetapkan. Jika ada pelanggan nak bergambar, saya minta jarakkan diri, bersalaman pun tak boleh,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Amir menyimpan impian untuk membuka kafe namun dia perlu memikikan banyak perkara apatah lagi dalam situasi sekarang banyak peniaga terpaksa tutup kedai.

“Saya pun ada hasrat nak buka kafe macam kawan-kawan lain, memang teringin. Tapi, saya kena fikir banyak sudut sebab nak kena beringat untuk bayar sewa kedai dan gaji pekerja.

“Malah, melihatkan situasi pandemik yang masih teruk sekarang ini tak tahulah bila akan reda. Saya risau dengan keadaan yang tidak menentu ketika ini apabila tengok ada peniaga-peniaga kena tutup kedai sebab tak mampu nak tanggung lagi,” katanya.

Amir turut meluahkan rasa syukur bisnesnya itu sudah mempunyai agen dan stokis di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Pahang dan Kedah.