fbpx

Sudah lebih sebulan mendirikan rumah tangga, pelakon Risteena Minum mengakui kehidupan bersama suami yang juga pelakon dan penyanyi, Isa Khan semakin bahagia.

Risteena turut menyifatkan dirinya bertuah kerana memiliki suami yang memahami dan sporting. Malah, Risteena berkata Isa sentiasa membantu membuat kerja rumah.

BACA: Genap Sebulan Berkahwin, Risteena Rasa Bertuah Miliki Isa Khan

“Tahun ini seronok dan teruja sambut Ramadan dan bakal menyambut Aidilfitri pertama sebagai suami isteri. Kami sudah fikir nak warna sedondon, buat rumah terbuka dan pelbagai perancangan difikirkan.

“Kalau dulu masa masih bujang kehidupan lain, sekarang sudah ada komitmen terutama kena masak untuk dia. Dulu bangun pagi mak sudah siap masak. Sekarang lain, kena basuh baju, masak, cuci pinggan dan kerja rumah semuanya buat sendiri.

“Saya seronok semua ini sebab suami seorang yang sangat membantu. Kadang-kadang Isa yang masak dan mencuci pinggan. Pendek kata dia bukan harapkan saya buat seorang. Saya bersyukur ada suami yang sangat ‘sporting’,” katanya.

Kata Risteena lagi, suaminya juga bukan jenis meminta untuk disediakan segala macam perkara. Jika dia penat untuk masak, Isa akan mengajak keluar makan atau beli sahaja.

“Saya bukan jenis bangun pagi, tapi suami ya. Jam 5.30 pagi dia sudah bangun dan dia juga tidur awal. Bangun pagi dia sudah buat aktiviti sendiri, tapi tak pernah harapkan saya siapkannya sarapan setiap pagi. Dia tak pernah kejut pun. Kalau bangun saya yang cari dia. Dia okey saja.

“Kalau saya penat dan tak larat nak masak, dia akan cakap buat tempahan saja atau ajak makan luar. Jadi saya tak pernah rasa susah langsung sepanjang sudah bergelar isteri. Dia tak pernah tetapkan pun semua perkara kena buat untuk dia,” katanya.

Risteena dan Isa Khan mendirikan rumah tangga pada 12 Mac lalu dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.