fbpx

Syamsul Yusof Bakal Jelaskan Isu Kahwin Dua

Selepas sekian lama berdiam diri, pengarah Syamsul Yusof berjanji akan menyelesaikan masalah kemelut rumah tangganya dengan Puteri Sarah dalam masa terdekat ini.

Perkara itu diberitahu oleh Syamsul menerusi satu video dimuat naik di Instagram semalam. Ujarnya, sudah tiba masanya dia merungkai apa yang berlaku di sebalik kemelut rumah tangganya yang menjadi bualan ramai hampir setengah tahun.

BACA: “Terserah Kepada Syamsul Untuk Cari Jalan Diredai Allah” – Yusof Haslam

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Syamsul Yusof (@syamsulyusoffilm)

“Sudah tiba masanya saya bersuara tentang hal ini. Saya pun dah penat dan percaya netizen pun letih. Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan menjawab dan meleraikan satu persatu kepada umum.

“Berikan saya masa sedikit untuk selesaikan semuanya. Dalam masa terdekat Insya-Allah saya akan berikan titik noktah kepada semua permasalahan ini,” katanya.

Menurut Syamsul lagi, dia tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak termasuk isterinya, Puteri Sarah yang sering berkongsikan kisah rumah tangga kepada umum di media sosial.

Katanya, hal rumah tangga tidak seharusnya dikongsikan kepada umum kerana ia melibatkan kisah peribadi mereka sebagai pasangan suami isteri.

“Walaupun saya ingin membuka mulut dan bersuara, berbezanya saya dan isteri, saya tidak mahu ikut cara dia. Saya tidak mahu membuka aib atau pekung kerana ia adalah soal perkahwinan, Soal peribadi antara saya dan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul mengakui terkesan dengan kata-kata kecaman dan hinaan dilemparkan netizen terhadapnya sehingga menganggu aktiviti sehariannya untuk bekerja di set penggambaran.

Namun, dia sedar sebagai seorang selebriti sudah menjadi asam garam dalam kehidupan dan akur hidupnya menjadi perhatian ramai.

“Apa pun saya sedar kehidupan sebagai seorang selebriti membuatkan semua orang memandang dan segala tingkah laku kita akan menjadi perhatian ramai.

“Saya juga manusia biasa, kadang-kadang terganggu fokus saya untuk menghasilkan filem. Saya terima apa yang netizen lemparkan tuduhan, tidak mengpa. Saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Minggu lalu, hangat diperkatakan apabila Puteri Sarah mendakwa suaminya itu telah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand namun tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan berkenaan.