fbpx

“Sungguh Tersesat Ilmunya, Dia Sudah Hilang Waras”

Pasti ramai tahu bahawa bekas anggota kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad tidak menghantar anak-anaknya ke sekolah dan suami kepada Ina Naim itu mempunyai alasan tersendiri mengapa dia berbuat demikian.

Namun baru-baru ini, perkongsian Suhaimi Saad yang mengatakan bahawa saiz matahari dan bulan hampir sama besar dibidas oleh seorang wanita yang juga merupakan seorang doktor.

BACA: Ramai Bengang Suhaimi Saad Rendahkan Martabat Isteri

 

Menerusi Facebook, Dr Rusyainie Ramlie tidak bersetuju dengan cara didikan dan ilmu yang diajarkan Suhaimi kepada anak-anaknya. Dia turut meluahkan rasa sedih melihat nasib anak-anak tersebut kerana mendapat ayah sedemikian.

“Saya sedih melihat anak-anak ini. Mereka dilahirkan tanpa mampu memilih siapa mak ayah mereka. Malang sekali mereka mendapat ayah yang sebegini.

“Saya masih husnuzon ketika dia mengatakan yang anak-anak dia tak bersekolah. Dia mengajar di rumah. Mungkin dia menceduk segala silibus KPM supaya dia mempunyai garis panduan apa yang anak-anak dia mesti pelajari dan fahami.

“Tapi kalaulah begini ajaran sains dia, 4 orang anak-anak yang naif ni bakal menjadi manusia yang ilmunya terpesong. Mana mungkin matahari dan bulan tu sama besar bila sains membuktikan ia sebaliknya.

“Hanya kerana dia nampak matahari dari pandangan kasar tu sama besar dengan bulan, maka dia membuat kesimpulan begitu. Ya Allah sungguh tersesat ilmunya! Dia menterjemahkan ilmu sains secara harfiah dan literal! Ni kerja gila!

“Nak terjemahkan ayat dalam Al Quran bukan boleh main ikut suka saja. Saya memang bergantung pada ilmuwan and ulama Islam untuk membentangkan hujah mereka tentang sesuatu isu.

“Bukan sebab saya ni ada kelulusan sebagai doktor, saya terus merasakan yang diri saya ni serba tahu. Sedangkan nak masak pun ada pengkhususan kulinari, ni kan pula bab agama. Dia ni ternyata sudah hilang waras,” tulisnya.

Jelasnya lagi, inilah akibatnya jika mengasingkan Islam dan Sains, sedangkan keduanya seiring. Ujarnya lagi, beliau yang bekerja sebagai doktor dan suaminya berkelulusan dari universiti terbaik di dunia pun tidak pernah terfikir untuk menyekolahkan sendiri anak-anak.

Menurutnya lagi, beliau tidak dapat membayangkan kehidupan anak-anak tersebut yang dicorakkan oleh ayah yang mempunyai ego setinggi langit dan kononnya tahu semua perkara. Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar kurniakan hidayah kepada si ayah.