fbpx

Sukar Belajar Secara Online, Ezzaty Abdullah Berhentikan Anak Sekolah

Pelakon Ezzaty Abdullah berkata dia mengambil keputusan untuk memberhentikan persekolahan anaknya Harum Dahlia kerana berdepan kesukaran ketika belajar dalam talian.

Menurut Ezzaty, selepas memberhentikan anaknya dari pra sekolah pada Jun lalu, dia mengambil pendekatan mengajar sendiri anaknya.

BACA: Ezzaty Abdullah Menangis Dua Hari Dua Malam Takut Nak Buat Swab Test

“Selepas mendaftarkan Harum dalam sebuah sekolah pra sekolah tahun ini, kelasnya perlu dilakukan dalam talian sejak April lalu disebabkan situasi pandemik. Bagaimanapun, dia mengalami kesulitan untuk faham sepenuhnya pengajaran menerusi cara itu.

“Daripada terus membazir bayar yuran, saya nekad untuk berhentikan dia dan ambil alih tugas itu sejak Jun. Bagaimanapun, saya tetap menggunakan silibus pengajaran ikut buku yang diberikan taska itu.

“Tapi saya tak mahu mengajarnya dengan formal sangat. Dalam sehari, saya ajar dia dua kali selama setengah jam dan selainnya berikan dia melihat video menarik yang boleh ajarnya mengeja atau kenal huruf,” katanya.

Dalam pada itu, Ezzaty meluahkan rasa syukur anaknya itu kini menunjukkan perkembangan yang sangat baik apabila sudah boleh mengeja namanya sendiri.

“Memandangkan dia masih kecil, saya tak terlalu memaksanya. Saya buat dengan cara lebih santai sebab saya sendiri pun pernah ada pengalaman mengajar kanak-kanak sebelum ini.

“Alhamdulillah, dia sudah boleh mengenal huruf, mengeja namanya, dan nama saya. Tapi nama bapanya belum lagi tapi tidak mengapalah, biar perlahan-lahan asalkan ada peningkatan juga,” katanya.

Ezzaty dan Azwan Kombos mendirikan rumah tangga pada 16 Julai 2016. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Harum Dahlia.