fbpx

Sufian Suhaimi Sudah Sedia Jadi Suami

Penyanyi Sufian Suhami yang dikatakan bakal mengakhiri zaman bujangnya pada bulan Mac ini, bersama pelakon Elfira Loy, masih lagi menjadi tanda tanya kerana mereka masih tidak mempunyai tarikh dan masing-masing pula sibuk dengan urusan kerjaya.

BACA: Sufian Suhaimi Akui Lalui Ujian Bertunang

Bagaimanapun, Sufian Suhami berkata sebagai seorang individu dia telah pun bersedia sepenuhnya untuk bergelar seorang suami buat tunangannya, Elfira Loy.

“Sebagai individu saya sudah bersedia, sebab perkahwinan ini bukan hanya melibatkan saya dan tunang (Elfira Loy) sahaja, tetapi melibatkan kedua-dua belah pihak”

“Jadi kita tak boleh nak membelakangi kedua-dua ibu bapa kita dan saya hormati perkara itu. Disebabkan itu sebagai individu, saya cakap saya sudah bersedia,” katanya yang ditemui di majlis sidang media pencalonan awal Top 20, Anugerah MeleTOP ERA (AME2018).

Sufian Suhaimi juga berkata setiap apa yang berlaku dalam tempoh sepanjang pertunangannya adalah sebagai dugaan ketika tempoh dalam pertunangan ini.

“Bagi saya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Sebenarnya besar hikmahnya di sini, sebab ia membentuk saya supaya menjadi lebih matang dan bersedia serta yakin dengan diri sendiri”

“Keluarga saya sangat positif dan sentiasa menyokong apa saja yang saya lakukan. Sudah semestinya, mereka mahukan yang terbaik,” ujarnya yang berharap agar peminat-peminat di luar sana mendoakan yang terbaik agar urusan menuju ke gerbang perkahwinan bersama pelakon Elfira Loy berjalan lancar. (rtky/h)