fbpx

Sufian Suhaimi Hidup Tenang Tanpa Cinta

Episod sedih dalam hidupnya sudah pun berlalu, penyanyi Sufian Suhaimi memberitahu dia sudah mendapat semula kekuatan untuk bangkit meneruskan hidup dan tidak lagi menyimpan dendam di atas apa yang berlaku.

“Tidak mudah untuk saya berdepan ketika situasi hubungan kami sedang memuncak, tetapi saya sudah melepasinya. Saya perlahan-lahan mencari kekuatan, malah sebenarnya, sejak Oktober tahun lalu saya sudah bersedia.

BACA: “Belum Masa Untuk Saya Cari Pengganti”

“Ketika itu, saya tidak tahu apa akan berlaku kerana segala-galanya masih misteri. Banyak yang saya harus tempuh serentak, termasuk menyiapkan tesis pengajian yang belum sampai 20 peratus. Ujian pula datang bertimpa-timpa.

“Hubungan dan keluarga pula bermasalah. Dari situ, saya sudah dapat menilai segala kemungkinan akan berlaku dan saya harus bersedia. Saya tidak mahu terkejut jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya kepada BH Online.

Mungkin sudah trauma dengan episod putus tunang, Sufian mengakui mencari cinta bukan lagi keutamaan walaupun ada yang cuba mendekatinya, namun dia tidak menutup hatinya untuk menerima cinta lagi.

“Tetapi, itu bukan bermakna saya menutup pintu hati menerima cinta. Ada gadis cuba mendekati, tetapi saya belum bertemu insan yang sesuai. Ada juga dalam kalangan peminat yang menghantar mesej peribadi, tetapi jodoh itu rahsia Allah. Saya tidak lagi mencari cinta. Hidup saya lebih tenang apabila tidak lagi mengejar cinta,” katanya.