Isu pelarian sudah berlarutan di negara ini sejak puluhan tahun lalu, tetapi satu masalah asas masih perlu diselesaikan. Kerajaan perlu tahu dengan tepat siapa yang berada dalam negara ini sebelum boleh menentukan apa yang perlu dilakukan terhadap mereka.

Itu antara perkara yang cuba ditangani Kerajaan MADANI menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sejak 1 Januari lalu yang menjadikan pengurusan pelarian kini lebih berasaskan data termasuk rekod biometrik, pengesahan identiti dan tapisan keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Julai lalu menjelaskan, pelaksanaan DPP akan membolehkan kerajaan mempunyai maklumat lebih terperinci mengenai pelarian yang berjaya didaftarkan.

“Kita akan mempunyai sejumlah data yang lebih kredibel, data granular lebih lengkap mengandungi semua maklumat tentang pelarian yang berjaya kita daftarkan,” katanya.

Data itu penting kerana status setiap individu perlu dikenal pasti sebelum kerajaan boleh menentukan tindakan seterusnya. Tidak semua yang mendakwa sebagai pelarian semestinya mempunyai status itu manakala sebahagian yang berada di negara ini mungkin mempunyai isu berkaitan imigresen.

Dalam kumpulan awal DPP, seramai 78 pelarian menjalani tapisan ketat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hanya yang memenuhi syarat diberikan pertimbangan.

Daripada jumlah berkenaan, 25 individu kini sedang dipertimbangkan oleh syarikat bagi projek rintis penggunaan tenaga kerja. Projek rintis itu bukan tawaran pekerjaan tetap dan tidak memberikan hak kepada mereka untuk terus menetap di Malaysia. Mereka kekal sebagai pelarian sementara proses menentukan penempatan akhir diteruskan.

Saifuddin sudah menjelaskan perkara itu sejak Mei lalu apabila menolak anggapan bahawa pelarian yang mendaftar melalui DPP dan dipadankan dengan majikan akhirnya boleh terus menetap di negara ini.

“Jadi jalan akhir kepada program DPP ini tetap tiga, bukan bermaksud daftar DPP, match (dipadankan) dengan majikan, dia (pelarian) dah selesai, boleh settle down (menetap) di sini, tidak. Penamatnya tetap tiga iaitu repatriasi, penempatan ke negara ketiga dan pengusiran,” katanya.

Pendirian itu juga menjawab satu lagi kebimbangan yang timbul apabila kerajaan mengeluarkan dokumen pengenalan rasmi kepada pelarian. DPP bukan pemberian kewarganegaraan dan tidak membuka laluan kepada mereka untuk menjadi warganegara Malaysia.

Apa yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan turut menunjukkan kerajaan bukan sekadar mengumpulkan data. Pada 27 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan fasa pertama penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 5,000 pelarian Myanmar yang layak, dengan kumpulan pertama seramai 1,476 orang dijadual dihantar pulang pada 29 September.

Pada masa sama, 4,008 individu terutama etnik Rohingya dijalurkan kepada DPP. Sebahagiannya perlu melalui proses menentukan status manakala mereka yang layak untuk pulang pula melalui laluan berbeza.

Selepas berpuluh tahun berdepan isu pelarian, pendekatan berasaskan data memberi kerajaan gambaran lebih jelas mengenai siapa yang sedang diuruskan.

Status yang dikenal pasti itu kemudian menjadi asas untuk menentukan langkah seterusnya, sama ada melibatkan pekerjaan sementara, penempatan ke negara ketiga, penghantaran pulang atau pengusiran.

DPP mungkin tidak menyelesaikan seluruh persoalan pelarian dalam sekelip mata. Tetapi kalau identiti dan status mereka yang berada dalam negara sendiri tidak diketahui dengan tepat, bagaimana masalah yang sudah berpuluh tahun itu mahu diselesaikan?

KREDIT GAMBAR UTAMA: UTUSAN MALAYSIA

×