fbpx

Sudah 2 Tahun Bad Indigo Tak Jejak Bazar Ramadan Sebab Tiada Parkir OKU

Penyanyi Bad Indigo mengakui rindu untuk mengunjungi bazar Ramadan namun terpaksa melupakan hasratnya itu kerana tiada kemudahan tempat letak kereta bagi Orang Kurang Upaya (OKU) disediakan di kawasan berkenaan.

Memetik mStar Online, Bad berkata sudah dua tahun dia tidak ke bazar tambahan pula keadaan fizikalnya yang terbatas serta perlu menggunakan kerusi roda.

BACA: Tayang Sipi-Sipi Wajah, Bad Indigo Dituduh Berilusi Ada Teman Wanita

“Saya cuma rindu suasana nak ke bazar Ramadan kerana dengan keadaan saya sekarang, memang susah nak jejak ke bazar kerana tiada kemudahan parking OKU.

“Kalau kena parking jauh, saya memang tak larat nak jalan. Lagi pun, saya pakai walker, jadi agak susah. Bukannya apa, kadang tengok orang muat naik gambar pergi bazar, timbul pula rasa rindu nak ke sana,” katanya.

Bagaimanapun, Bad meluahkan rasa syukur masih mampu membeli juadah berbuka puasa dengan bantuan rakan sekerja serta masyarakat sekeliling.

Menurut Bad, dia yang bekerja di sebuah bengkel di Bukit Permai, Ampang hanya membeli makanan di restoran berhampiran atau membuat pesanan daripada rakan sekerja.

“Saya sekarang kerja di bengkel. Kalau budak-budak bengkel pergi beli juadah berbuka, saya pesan saja pada mereka. Kadang-kadang, saya bawa kerusi roda naik ke jalan besar untuk melihat apa juadah yang dijual di kedai makan sekeliling.

“Orang-orang dekat sini semua dah kenal saya. Kalau saya nak lintas jalan, mereka akan tahankan kereta untuk beri saya laluan. Alhamdulillah, mereka semua memang baik dan segala urusan saya juga dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Bad berharap pihak berkuasa lebih peka mengenai kemudahan untuk OKU serta mengakui kemudahan OKU di Malaysia masih belum meluas.

“Saya tahu bukan mudah untuk pihak berkuasa menyediakan parking OKU di bazar Ramadan. Namun, sekiranya ada pihak-pihak yang boleh melihat akan masalah ini, saya harap mereka dapatlah lakukan sesuatu.

“Sebelum saya jadi OKU, saya sendiri tidak tahu individu OKU berdepan dengan banyak masalah. Contohnya kalau saya ke pusat membeli-belah juga, banyak kedai yang sukar untuk saya masuk sebab sempit.

“Jadi saya akui kemudahan OKU di negara kita sebenarnya masih belum meluas dan mungkin kurangnya kesedaran tentang perkara ini,” katanya.