fbpx

Suami Tidak Halang Fouziah Gous Terus Berlakon

Sabtu lalu, pelakon dan model Fouziah Gous telah sah menjadi isteri kepada Zhafran Yusof. Satu sidang media telah diadakan selepas berlangsungnya majlis pernikahannya dan beberapa soalan telah diajukan kepada Fouziah dan suaminya, Zhafran Yusof.

Telah menjadi lumrah sekiranya seseorang itu sudah bergelar isteri atau suami sudah pastinya keadaan kehidupan mereka sudah berubah & sebagai pelakon Fouziah belum berfikir lagi untuk mengatur segala jadual dan kehidupan dirinya sebagai isteri. Walau bagaimana pun, suaminya membenarkan Fouziah untuk terus membina kerjayanya.

BACA: Gambar Di Sekitar Majlis Pernikahan Fouziah Gous & Zhafran Yusof

“Saya tidak menghalang dia untuk terus berlakon kerana itu adalah minat dan kerjayanya dan apa sahaja dia buat saya tetap akan menyokong. Lagipun saya tahu Fouziah sangat matang dan tahu membuat keputusan sama ada yang baik atau buruk,” kata Zhafran.

Fouziah juga turut memberikan sepatah dua kata apabila diajukan soalan ini kepada suaminya.

“Setakat ini saya belum terfikir lagi kerana masih sibuk dengan majlis perkahwinan kami dan mungkin apabila selesainya upacara pernikahan dan persandingan pada minggu hadapan sudah pastinya saya akan melihat semula jadual kerja dan cuba mengaturnya supaya ianya tidak sibuk”

“Saya berharap dapat menjalankan tugas sebaik yang mungkin sebagai isteri kepada suami saya. Berkemungkinan saya akan bercuti rehat seketika sebelum memulakan kerja pada bulan hadapan,” kata Fouziah Gous.

Zhafran dan Fouziah juga tidak kisah sekiranya mereka mendapat cahaya mata dalam masa yang singkat ini dan tidak menetapkan sama ada lelaki atau perempuan.

“Sekiranya kami mendapat cahaya mata dalam masa yang singkat ini, kami bersyukur dan tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan asalkan dikurniakan tubuh badan yang sihat, cergas dan sempurna,” kata mereka berdua.

Pasangan ini juga tidak merancang lagi untuk berbulan madu di mana-mana lokasi kerana masing-masing masih lagi sibuk dengan upacara pernikahan dan juga bakal mengadakan majlis persandingan di Hotel JW Marriot Putrajaya, Sabtu depan.

“Setakat ini kami tidak terfikir lagi untuk ke mana-mana dan kalau boleh biarlah majlis kami ini berjalan dengan lancar dan tamat dengan sempurnya,” kata kedua-dua mempelai ini.