fbpx

Suami King Coco Sah Ceraikan Isteri Pertama

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila dikhabarkan King Coco sudah tidak lagi bermadu dan khabar angin pula mengatakan suaminya, Kapten Azrin telah menceraikan isteri pertama yang dikenali, Nor Azura.

Segala spekulasi terjawab apabila Kapten Azrin mendedahkan bahawa dia telah menceraikan isteri pertamanya itu pada Oktober tahun lalu. Menurut Azrin, keputusan untuk berpisah atas persetujuan bersama dan selepas berbincang dengan keluarga masing-masing.

BACA: Suami King Coco Cerai Isteri Pertama?

“Saya mengesahkan yang kami berdua sudah pun bercerai pada awal bulan Oktober 2018. Saya tidak pernah berniat untuk menceraikan bekas isteri saya. Kami berbincang dengan keluarga dan ibu saya, akhirnya saya bersetuju untuk Nor Azura menfailkan kes penceraian ini,” katanya kepada Nona.

Azrin juga mengakui apa yang berlaku berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri dan bukan dari bekas isteri mahupun King Coco. Katanya lagi, diharap dengan penjelasan tersebut dapat menjawab segala persoalan mengenai hal rumah tangganya.

“Mungkin disebabkan kekhilafan saya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Kami berpisah cara baik dan sehingga kini masih berkomunikasi demi anak-anak. Saya akui sampai sini sahaja jodoh kami berdua.  Saya dan bekas isteri kini berkawan seperti biasa.

“Coco dan bekas isteri sama-sama baik. Mungkin saya yang kurang menghargai pengorbanan mereka berdua sebagai seorang isteri dan bekas isteri.” katanya.