fbpx

Soo Wincci Minta Izin Isteri Aaron Aziz Lakon Babak Mesra

Menyedari beberapa babak lakonannya di dalam filem Kau Yang Satu bersama Aaron Aziz adalah babak yang melibatkan adegan memegang, memeluk dan duduk di atas peha Aaron, Soo Wincci terlebih dahulu meminta kebenaran daripada isteri pelakon lelaki berkenaan.

“Saya memegang watak sebagai Isabella, seorang model yang mempunyai hubungan dengan Taufik, lakonan Aaron. Pada awalnya, saya rasa agak risau selepas membaca skrip. Saya menyedari ada adegan mesra yang harus saya lakukan bersama Aaron”

“Sebagai tanda hormat, saya meminta izin dengan isteri Aaron, Diyana untuk melakonkan babak-babak tersebut. Diyana sangat memahami dan tahu tugas saya sebagai seorang pelakon. Pada mulanya, saya rasa agak segan juga tetapi saya melakukan aksi tersebut atas dasar profesional dan tuntutan watak,” jelasnya kepada Astro Gempak.

Sementara itu dalam masa yang sama, Soo Wincci juga turut menyatakan bahawa watak yang dibawakannya kali ini adalah mencabar dan bersedia jika diberi watak sedemikian di samping melonjakkan namanya di dalam industri seni tanah air. (rtky/s)