fbpx

Sofi Jikan Tiada Tawaran Berlakon, Ramai Kawan Lari

Awal tahun lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita penahanan pelakon, Sofi Jikan yang didapati positif ganja dan dikatakan antara invdividu yang didakwa menganaiya Farid Kamil.

Selepas peristiwa hitam tersebut, Sofi mendedahkan buat masa ini dia tidak mahu bertentang mata dengan Farid walaupun ada beberapa rakannya mahu mempertemukannya dengan aktor tersebut dan Farid pernah cuba berhubung dengannya.

BACA: Farid Kamil ‘Like’ Gambar Sofi Jikan Ditahan?

“Diakui ada beberapa rakan nak pertemukan kami, tetapi saya tidak berminat. Malah, Farid juga ada menghubungi tapi saya tak jawab. Terus-terang cakap, saya masih belum boleh terima apa yang dia lakukan terhadap saya. Saya macam tak percaya dia sanggup buat seperti itu. Disebabkan tindakannya itu, saya hilang segala-galanya,” katanya kepada KopiPlanet.

Susulan kontroversi itu, Sofi akui dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon malah beberapa projek yang telah dijanjikan untuknya dibatalkan.

“Selepas timbul kes berkenaan saya tidak mendapat sebarang tawaran berlakon. Kalau ada pun, pihak terbabit batalkan. Malah, beberapa projek yang dipersetujui sebelum ini mengarahkan saya untuk menulis surat dengan alasan saya menarik diri.

“Saya juga tidak boleh terbabit dalam sebarang program di kaca televisyen. Saya tidak pasti sama ada nama disenarai hitam kerana tidak ada hitam putih. Saya pula jenis malas nak bertanya dan tidak suka merungut. Nak buat saya, buatlah.

Menurut Sofi lagi, ramai kawan-kawannya juga menghilangkan diri selepas insiden tersebut, namun dia tidak menyalahkan sesiapa dan cuba berfikiran positif.

“Dalam masa sama, kawan juga ramai lari. Kalau saya hubungi atau menghantar mesej, mereka tidak jawab. Dari situ, baru saya tahu siapa kawan dan lawan. Mungkin mereka tidak mahu terbabit dengan saya, jadi tidak ada siapa mahu berkawan dengan saya,” ujarnya lagi.