Ramai sebenarnya kurang tahu tentang saiz ekonomi digital di Malaysia ketika ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS). Menurut kajian, ekonomi berasaskan internet di Malaysia bakal mencecah RM88 billion pada tahun 2025.
Namun, masih banyak PKS di Malaysia yang masih menjalankan perniagaan mereka dengan cara lama dan tidak memandang ekonomi digital sebagai sesuatu yang penting buat mereka.
Contoh paling mudah pendigital yang boleh dilakukan PKS ketika ini adalah menyelaraskan nombor telefon pejabat dan telefon bimbit peribadi. Berapa banyak pelanggan berpontensi terlepas dari tangan apabila gagal menghubungi nombor telefon pejabat di luar waktu pejabat.
Masalah ini boleh diselesaikan dengan menyambungkan telefon peribadi kepada nombor telefon pejabat supaya pelanggan boleh menghubungi kita pada bila-bila masa sahaja.
PKS hari ini disaran melakukan perubahan drastik serta perlu mengambil inisiatif menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi mengubah perniagaan ke bentuk digital.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Dr Tengku Khairi A Rahman berkata usahawan PKS tidak sewajarnya mengambil sikap tunggu dan lihat bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.
“Jangan lagi bersikap ‘wait and see’ (tunggu dan lihat). Jika tidak tahu, bertanyalah dengan agensi terbabit. Jangan terlalu lama menunggu hingga akhirnya dana yang tersedia habis. Tidak perlu lagi memberi pelbagai alasan kerana kerajaan telah memberi yang terbaik”
“Langkah untuk melakukan transformasi digital harus dimulakan segera. Sudah sampai masa PKS berubah demi masa depan perniagaan masing-masing,” ujarnya menyeru PKS mengambil peluang terbaik ini.