fbpx

Siti Nurhaliza, Suami Buka Sekolah Anak-Anak Gaza Di Palestin

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur hasratnya untuk membuka sebuah sekolah untuk anak-anak Gaza di Palestin tercapai.

Memetik Kosmo, Siti berkata sekolah yang diberi nama sempena dua anaknya, Afwa & Aafiyah itu menyediakan pendidikan peringkat awal dalam bidang Al-Quran dan akademik.

BACA: Siti Nurhaliza Belum Terfikir Sediakan ‘Bodyguard’ Untuk Aafiyah & Afwa

“Alhamdulillah, saya dan juga suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersyukur apabila dapat membuka sebuah sekolah untuk anak-anak Gaza yang telah beroperasi sejak setahun lalu di bawah Yayasan Nurjiwa.

“Setakat ini terdapat kira-kira 50 orang murid terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan seawal usia empat tahun,” katanya.

Menurut Siti lagi, sekolah yang dibuka itu diuruskan oleh wakil khas di sana. Ujarnya, sekolah yang ditubuhkan itu dapat memberi peluang kepada anak-anak Gaza untuk menerima pendidikan awal.

“Pihak yayasan mempunyai wakil khas di Gaza yang diberi kepercayaan untuk menguruskan sekolah, tenaga pengajar dan murid-murid termasuk menguruskan kemudahan makanan yang diberi sewaktu persekolahan.

“Sekolah yang ditubuhkan pada 5 Oktober 2021 ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada anak-anak Palestin mendapat pendidikan awal selain belajar dalam bangunan sekolah yang lebih selesa,” katanya.

Mula ditubuhkan pada Ogos 2006, Yayasan Nurjiwa turut membantu masyarakat di Malaysia apabila turut aktif mengadakan pelbagai misi bantuan.