Usia Siti Aafiyah bakal memasuki dua tahun Mac ini, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza merancang untuk menambah cahaya mata kedua tahun ini. Ujarnya lagi, dia mahu menimang anak kedua sebelum usianya 43 tahun.

Menurut Siti, dia akan mendapatkan nasihat doktor kerana perlu melalui proses rawatan kesuburan, In vitro fertilisation (IVF) sama seperti anak sulungnya. Namun, Siti berkata dia serahkan rezeki zuriat itu kepada Allah.


BACA: Pengurus Siti Nurhaliza Beri Amaran Mahu Saman Pemfitnah

“Insya Allah, sebab saya pun usia makin meningkat. Saya menyasarkan sebelum usia 43 tahun. Walaubagaimanapun saya tetap menjalankan apa yang doktor sarankan dengan mengikut segala prosuder sama macam dulu iaitu IVF.

“Sebab masa buat dulu saya masih ada embrio yang disimpan. Jadi, insya Allah. Ini semua rezeki Allah. Kalau letak, ia menjadi, begitulah sebaliknya.

“Apa pun, saya berserah pada Allah. Kalau Allah kata ada rezeki lagi, saya bersyukur. Kalau tidak ada pun, tidak mengapa. Ini kerana, Aafiyah satu-satunya doa yang saya menanti setelah sekian lama. Paling penting, saya kena fikirkan kesihatan saya juga,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Siti berkata jika diberikan rezeki dia mahukan anak lelaki memandangkan sudah ada anak perempuan, namun dia menerima apa sahaja yang telah ditentukan oleh Allah.

“Kalau boleh nak sepasang iaitu lelaki pula. Sebab sudah ada perempuan. Tapi, saya tetap berserah kepada Allah. Apa pun yang Allah berikan, sekiranya Allah izinkan saya terima saja,” katanya.

Pada 2017, Siti berkongsi berita kehamilan pada usia 38 tahun iaitu selepas 11 tahun berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa.