fbpx

Siti Nurhaliza, Dr Sheikh Muszaphar Individu Paling Dikagumi Di Malaysia

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berada di kedudukan teratas sebagai World’s Most Admired di Malaysia.

Senarai yang dikeluarkan oleh YouGov itu mengumpulkan pencalonan terbuka World’s Most Admired dari panelis di 42 negara dan wilayah seluruh dunia bermula Januari sehingga Mac lalu.

BACA: Aafiyah Cium Perut, Siti Nurhaliza Hamil Anak Kedua?

Berdasarkan carta yang disertakan, penyanyi nombor satu negara itu meraih 18.83 peratusan kekaguman bagi setiap orang di 42 negara dan wilayah di seluruh dunia untuk kategori wanita.

Dalam pada itu, Siti meluahkan rasa syukur dan menyifatkan ia adalah penghargaan orang ramai terhadap dirinya. Ujarnya, dia akan terus memberikan contoh dan hasil kerja terbaik untuk peminatnya.

“Alhamdulillah, saya tak menjangka dan tak terfikir pun benda macam ini. Tapi, apabila ada keputusan menggembirakan, saya bersyukur. Saya rasa ini satu penghargaan orang pada saya.

“Ini semua hasil undian mereka kan. Insya Allah, saya akan terus memberikan contoh dan hasil kerja terbaik, supaya apa saya tonjolkan memberi manfaat kepada orang lain.

“Itu yang saya nak mereka nampak dan hargai. Terima kasih pada semua yang sudah menghargai saya sepanjang saya bergelar anak seni,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menerusi senarai tersebut, Nur Amalina Che Bakri selaku tempat kedua mendapat 10.03 peratus dan diikuti Nicol David yang memperoleh 6.76 peratus.

Untuk kategori lelaki pula, Sheikh Muszaphar paling teratas merangkul 10.64 peratus, diikuti Lee Chong Wei, 8.88 peratus serta Mahathir Mohamad memperoleh 8.80 peratus.