fbpx

Siti Elizad Tunda Rawatan IVF, Mahu Habiskan Shooting Drama

Sebelum ini memaklumkan akan menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF), bagaimanapun Siti Elizad berkata dia terpaksa menunda sehingga tamat penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga yang masih dalam penggambaran.

Menurut Elizad, dia mengambil keputusan untuk menghabiskan penggambaran drama berkenaan terlebih dahulu bagi mengelakkan dirinya kepenatan dalam tempoh rawatan.

BACA: Siti Elizad Berjaya Khatam Al-Quran Sepanjang PKP

“Ramai ingat saya sudah memulakan rawatan IVF, tetapi saya belum berkesempatan memulakan lagi. Kini, saya sedang menghabiskan penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga hingga akhir Ogos. Selepas itu, barulah saya tenang mahu memulakan rawatan,” katanya kepada BH Online.

Elizad berkata penggambaran drama tersebut sepatutnya telah tamat namun ditunda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujarnya, dia menerima banyak tawaran bagi menjayakan watak sedih dan tidak mahu perasaan emosi memberi kesan pada bayi.

“Saya tak mahu terlalu penat kerana ia memberi kesan kepada rawatan. Jadi, saya akan menjalani rawatan selepas penggambaran selesai dan hanya fokus sebagai penyampai radio dalam tempoh setahun” katanya.

“Saya mahu dalam tempoh saya menjalankan rawatan, saya tenang dan gembira sahaja. Tetapi, jika ada tawaran watak undangan, saya akan mempertimbangkan,” katanya.

Untuk rekod, Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.