fbpx

Sikap Wanita Kampung Punca Lelaki Muda Tertarik Dengan Siti Nordiana?

Sering dikaitkan dengan beberapa selebriti lelaki lebih muda, pelakon dan penyanyi Siti Nordiana menafikan dia mudah menjadi tarikan lelaki muda kerana sikap wanita kampung dan ‘mak mak’ dimilikinya.

Dikatakan rapat dan mesra beberapa selebriti muda seperti Khai Bahar, Fikry Ibrahim dan Syafiq Farhain bagaimanapun, Siti Nordiana berkata dia hanya menjalinkan hubungan baik dengan semua orang.

BACA: Fikry Ibrahim Hantar Rombongan Merisik Siti Nordiana?

“Dari faktor usia, memang saya berusia daripada mereka. Status pula, saya pun seorang ibu, jadi wajarlah ada sifat ‘mak mak’ itu. Malah, saya juga memang berasal dari kampung, termasuk pernah mendapat gelaran ‘penyanyi kampung’. Tapi, taklah sampai saya mampu jadi tarikan lelaki muda.

“Pada saya, kami semua bersahabat. Tak salah pun jalinkan hubungan baik dan mesra dengan ramai orang. Saya sendiri sudah ada pengalaman ketika nama berada di puncak, kemudian jatuh dan sekarang mendapat sokongan peminat semula.

“Jadi, dengan pengalaman ini saya sedia berkongsi dengan sesiapa saja selebriti tidak kira lelaki atau wanita jika mereka mahukan pandangan. Bagi saya, wajar bersahabat untuk berkongsi kebaikan,” katanya.

Nana berkata jika dia rapat dengan mana-mana rakan artis, tidak pernah terfikir untuk menumpang populariti mereka. Malah, tidak mempunyai niat untuk mencari jodoh apabila bersikap baik dengan selebriti lelaki muda.

“Apabila saya baik, rapat dan mesra dengan selebriti lain, tak pernah terlintas di fikiran pun nak menumpang populariti mereka. Pada saya, peminat atau orang ramai berhak menyokong dan memilih selebriti yang diminati.

“Malah, sikap baik saya pada selebriti lelaki muda ini bukan berbaur peribadi atau nak mencari jodoh. Untuk saya, cukup sekadar saling menyokong sebagai rakan sesama selebriti. Lagipun jodoh itu rahsia Allah,” katanya.