Dalam dunia yang semakin bergolak dengan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, serta kebangkitan semula politik blok, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 muncul sebagai detik penting untuk rantau Asia Tenggara menyemak semula hala tujunya.
Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, sidang kali ini bukan sekadar acara diplomatik setiap dua tahun sekali tetapi satu peluang strategik untuk menyemai komitmen jangka panjang demi mencapai aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045.
Katanya, ia juga memberi peluang kepada ASEAN untuk menilai pencapaian-pencapaian sedia ada dan mengkaji jurang antara dasar dengan pelaksanaan serta memperkukuh tonggak politik dan keselamatan, ekonomi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan sosiobudaya yang menjadi teras komunitinya.
“Kita berada dalam persekitaran serantau yang sangat kompleks termasuk ketegangan geopolitik di Laut China Selatan, kepesatan dan persaingan teknologi, AI, perubahan iklim, krisis makanan dan tenaga, fokus tenaga diperbaharui serta kebangkitan semula politik blok.
“Dalam konteks ini, sidang kemuncak di Kuala Lumpur menjadi medan penting untuk memetakan strategi jangka panjang bagi merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang mengimpikan sebuah rantau yang inklusif, berdaya tahan, makmur dan berorientasikan rakyat,” katanya kepada Rotikaya.

Dr. Awang Azman Awang Pawi
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menandakan satu detik penting dalam sejarah kerjasama serantau.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini menekankan kepentingan integrasi ekonomi yang lebih mendalam dan kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran global.
Ia juga mencipta sejarah tersendiri dengan penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) -China, platform tiga hala yang pertama kali diadakan.
Mengulas peranan sebagai suara kolektif dalam geopolitik global, Dr. Awang Azman berkata, ASEAN boleh memainkan peranan lebih besar itu dengan memperkukuh kesepakatan dalaman.
Tegasnya, tanpa konsensus dalaman yang kukuh, suara ASEAN di pentas global akan terus dilihat lemah dan bersifat “neutral yang pasif.”
“ASEAN perlu mengaktifkan semula peranannya sebagai honest broker dalam konflik seperti di Myanmar, Laut China Selatan dan ketegangan Indo-Pasifik. ASEAN harus menjadi pendamai yang aktif dan disegani.
“Diplomasi nilai juga perlu diterapkan dengan mempromosi prinsip multilateralisme, keamanan dan pembangunan lestari dalam dialog dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China, India dan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Sementara itu, Dr. Awang Azman menyifatkan kerjasama ASEAN bersama GCC dan China membawa potensi yang besar kepada aspek ekonomi dan pertahanan.
Katanya, ia akan membuka pasaran tenaga, pelaburan, halal dan teknologi tinggi khususnya melalui GCC yang mempunyai kekayaan sumber dan China yang mendominasi rantaian bekalan global.

Tanpa konsensus dalaman yang kukuh, suara ASEAN di pentas global akan terus dilihat lemah dan bersifat “neutral yang pasif.”
Pada masa sama, ia merupakan peluang untuk memperkukuh ketahanan tenaga, makanan dan pertahanan siber melalui pemindahan teknologi dan latihan bersama, katanya.
“Namun, risiko tetap ada kerana jika keterlaluan bergantung kepada China atau GCC boleh menjadikan ASEAN terdedah kepada dominasi politik atau ekonomi luar yang mungkin menjejaskan autonomi dasar luar ASEAN.
“Ketidakseimbangan dalam perjanjian dua hala juga boleh melemahkan pendekatan kolektif ASEAN jika negara-negara anggota lebih mengutamakan hubungan bilateral berbanding kerjasama serantau.
“Namun peluang kerjasama dengan GCC dapat mengimbangkan keterbergantungan dengan China dari segi pelaburan dan kewangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Awang Azman berharap sidang kali ini menghasilkan komitmen politik sebenar terhadap reformasi institusi ASEAN termasuk mekanisme membuat keputusan yang lebih fleksibel seperti pengundian majoriti dalam isu mendesak seperti Myanmar.
Tidak ketinggalan katanya, ialah pelan tindakan konkrit ke arah ASEAN 2045 dengan penanda aras, pelaporan berkala dan penglibatan sektor bukan kerajaan.
Katanya, kesepaduan dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, krisis geopolitik dan keselamatan makanan juga perlu diwujudkan agar ASEAN dilihat sebagai kuasa rantau yang tidak hanya reaktif tetapi proaktif.
“Tanpa anjakan paradigma dalam tindakan politik dan struktur dalaman, Visi ASEAN 2045 hanya akan kekal sebagai retorik,” tegasnya.