Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain reda dan bersedia menghadapi proses perundangan negara susulan dua pertuduhan yang bakal dihadapinya di Mahkamah Majistret Sepang, esok.
Memetik laporan BH Online, beliau menegaskan akan menghormati apa juga keputusan yang dibuat serta memberikan kerjasama dengan hadir ke mahkamah seperti dijadualkan.
“Esok, saya bersedia untuk menghadapi proses sistem perundangan negara.
“Saya reda dan menghormati apa juga keputusan dan akan hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Shuhaily turut mengulangi pendiriannya bahawa usaha membawa perubahan bagi memperbaiki keselamatan sempadan negara mempunyai harga yang perlu dibayar, termasuk membabitkan dirinya sendiri.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan serta mendoakan beliau sepanjang melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saya juga berterima kasih kepada mereka yang terus mendoakan dalam mempermudahkan saya menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan Mohd Shuhaily akan berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang pada pagi Rabu.
Menurutnya, pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membabitkan dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada bulan lalu.
“Saya sahkan Datuk Seri Mohd Shuhaily akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada pagi esok.
“Ia membabitkan dua pertuduhan sengaja mencederakan dua pegawai polis di tempat kejadian,” katanya.
Terdahulu, pada 28 September lalu, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki kelihatan seperti Mohd Shuhaily sedang memarahi seorang individu di KLIA.
Susulan kejadian itu, Mohd Shuhaily pada 1 Oktober lalu menyatakan kesediaannya menerima apa sahaja keputusan atau tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya.
Ketika sidang media berkenaan, beliau turut menegaskan tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan mahu memastikan lapangan terbang utama negara itu bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.
KREDITI GAMBAR: FACEBOOK AKPS