fbpx

Shila Amzah Tak Tutup Pintu Hati Untuk Terima Cinta Baru

Meskipun berdepan kegagalan rumah tangga apabila bercerai pada Februari lalu, penyanyi Shila Amzah berkata dia tidak pernah menutup pintu hati untuk terima cinta baru.

Bagaimanapun memetik Media Hiburan, Shila berkata dia akan lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidupnya selepas ini kerana dia kini bersama anak tunggalnya.

BACA: Duit Saman Wartawan Boleh Beli Rumah, Shila Amzah Mohon Maaf Kepada Media

“Saya tidak serik kerana masih ada cinta untuk diberikan kepada yang selayaknya. Cuma saya tidak tahu bagaimanapun jodoh saya pada masa hadapan. Cuma saya akan lebih berhati-hati kerana saya bukan sendiri, tetapi ada anak bersama saya,” katanya.

Menurut Shila lagi, ramai yang takut apabila melalui perjalanan sebagai ibu tunggal namun baginya anaknya Seth Uwais adalah sumber kekuatan.

“Sebagai ibu, menjadi tanggungjawab saya untuk mewujudkan suasana yang positif. Walaupun anak saya belum memahami apa yang berlaku, saya mahu dia rasa semuanya masih sama.

“Saya bersyukur kerana dia melalui situasi ini (penceraian Shila) pada usia sekarang. Walaupun mungkin Seth akan bertanya juga suatu hari nanti, saya sudah lebih bersedia menjawabnya.

“Tidak dinafikan ada orang takut untuk melalui situasi sebegini (menjadi ibu tunggal), tetapi untuk saya, saya lebih kuat bila nampak wajah anak,” katanya.

Dalam pada itu, Shila berkata sebelum ini dia sering mengutamakan orang lain namun kini dia mahu menjaga dirinya pula terlebih dahulu.

“Jadi saya akan cuba sorokkan apa sahaja perkara negatif atau kesedihan saya. Dahulu saya banyak mengutamakan orang lain, tetapi kini saya belajar untuk mengutamakan diri saya sendiri.

“Mungkin ada yang melihat saya mementingkan diri sendiri. Tetapi pada saya, untuk menjadi ibu yang terbaik, saya perlu utamakan diri dan jaga diri sendiri dulu,” katanya.

Terdahulu, Shila mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun disahkan bercerai pada 8 Februari tahun ini.