fbpx

Shila Amzah Tak Tutup Pintu Hati Untuk Bercinta

Meskipun berdepan kegagalan rumah tangga sebelum ini, namun penyanyi Shila Amzah berkata dia tidak akan pernah berhenti mencari cinta sejati.

Memetik Astro Gempak, Shila berkata dia memilih untuk berhati-hati seandainya ditakdirkan kembali menemui jodoh suatu hari nanti.

BACA: “Saya Masuk GV Bukan Sebab Duit” – Shila Amzah

“Jika ditanya pada mana-mana manusia sekalipun berkenaan dengan perkahwinan, perhubungan, untuk memiliki anak sekalipun, kita tidak akan pernah bersedia. Sebab benda-benda itu sukar untuk dijangka.

“Contohnya, kamu bersedia untuk bertemu dengan orang A, namun yang datang kepada kamu orang B. Jadi bagaimana? Bagi saya, tertakluk pada prinsip dalam hidup iaitu bukan semua orang sama.

“Begitupun, kalau jodoh datang pada saat dan ketika itu, saya terima dengan hati dan tangan yang terbuka. Tapi dalam masa sama, saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi itu berkata dia gemar melalui fasa percintaan yang sememangnya indah namun sudah tentu akan ada dugaan dan halangan.

“Sebab saya suka dilamun cinta! Berada dalam alam percintaan memberikan rasa yang sangat indah. Tapi sudah tentu ia datang dengan halangan juga kan. Saya ada banyak cinta untuk dikongsikan dan ia membuatkan fikiran kita hidup,” katanya.

Bagaimanapun, Shila berkata buat masa ini dia tiada perancangan untuk fasa solo sebagai ibu tunggal dan sedang menikmati kehidupan ‘single’.

“Saya tengah nak enjoy sort of my single life. Selagi saya belum berkahwin saya anggap saya single,” katanya.

Terdahulu, Shila mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun disahkan bercerai pada 8 Februari tahun ini.