Umum mengetahui sebelum ini hangat diperkatakan mengenai kemelut berlaku antara adik beradik Shila Amzah berikutan penyanyi itu mahu menjual banglo miliknya yang didiami oleh keluarganya.
Memetik Harian Metro, Shila berkata dia mahu menjual banglo tersebut kerana mahu menjalani kehidupan sederhana. Malah, dia dan suaminya, Ubai sudah membuat perancangan hari tua dengan anak-anak.
BACA: Shila Amzah Dilayan Ubai Bak ‘Princess’ Ketika Hamil
“Saya percaya, pada zaman sekarang, rumah bukanlah lagi satu aset sebaliknya liabiliti. Kami juga mahu menjalani hidup yang sederhana dan memiliki ‘financial freedom’ (kebebasan kewangan) dan tak nak pening kepala,” katanya.
Menurut Shila, dia dan suami kini tinggal di rumah teres tiga tingkat yang lebih kecil daripada rumah banglonya itu. Katanya lagi, dia selesa tinggal di rumah yang lebih kecil.
“Rumah besar (banglo) nampak seperti benda yang berlebihan. Duduk di rumah teres yang lebih kecil ini dengan seorang pembantu pun sudah cukup,” katanya.
Sementara itu, Shila berkata banglo miliknya itu masih dalam proses untuk dijual dan sudah ada pembeli yang berminat namun belum putuskan lagi.
“Saya sudah sampai satu tahap tak kisah berapa harga yang dapat (nak jual) kerana mahu ‘move on’ dan hidup yang tenang,” katanya.