fbpx

Sherry Ibrahim Bertudung Untuk Gembirakan Ibu Ayah

Pelakon terkenal, Sherry Ibrahim yang sebelum ini tidak memakai tudung akhirnya telah membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya pada hari lahir beliau yang ke-33. Jelasnya lagi, keputusan yang dibuat itu adalah bagi menggembirakan hati kedua-dua ibu dan bapanya.

BACA: Izreen Azminda, Sherry Ibrahim Terlibat Kemalangan

“Keputusan yang saya buat ini begitu singkat sebenarnya. Bersempena dengan hari lahir, saya mahu hadiahkan sesuatu yang bermakna buat ibu dan ayah. Sebelum ini saya membayangkan untuk bertudung selepas berkahwin, tetapi, saya rasa ibu dan ayah juga berhak mendapat rasa bahagia melihat anak mereka bertudung”

“Saya mahu menggembirakan mereka. Saya berasa sayu apabila tidak menyumbang sesuatu kepada mereka. Bayangkan, ibu hampir tidak mengenali saya ketika kami berjumpa dengan imej baharu ini. Saya dapat lihat perasaan gembira pada wajah mereka,” katanya bercerita kepada Berita Harian Online.

Sementara itu, Sherry turut bercerita bahawa sebelum ini beliau rajin mendengar ceramah agama sehingga hati terus berasa terbuka untuk berhijab dan menjadi seorang muslimah yang lebih baik dari sebelum ini. Tetapi apabila diaju soalan tentang haluan kerjaya, beliau hanya menjawab enggan terlalu memikirkannya.

Sherry menerusi akaun Instagram miliknya telah memuat naik gambar imej terbarunya itu bersama ibu dan ayah berserta dengan kapsyen, ini (berhijab) adalah untuk kamu berdua. Saya bersyukur kerana memiliki kamu semua sebagai ibu bapa yang lahir dan membesarkan saya dengan baik. Jasa papa dan mama takkan saya lupakan. Sayang kamu berdua. (rkty/w)