fbpx

Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Sepakat Besarkan Anak Bersama

Status rumah tangga mereka masih menjadi tanda tanya, bagaimanapun Sharnaaz Ahmad memilih untuk berbaik dengan Noor Nabila demi kebaikan dan kebahagiaan anak mereka, Jebat Jayden, kini berusia setahun.

Sharnaaz berkata apa yang paling utama adalah untuk membesarkan Jebat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Tidak dapat mengulas mengenai status rumah tangga mereka, Sharnaaz berkata dia mahu berkawan dengan Nabila.

BACA: Ucap Selamat Hari Ibu Pada Isteri, Rumah Tangga Sharnaaz Kembali Pulih?

“Kami berbaik untuk ‘co-parenting’ dengan keadaan sekarang ini. Jadi, tak ada benda yang menyakitkan hati antara satu sama lain sebab yang penting adalah untuk membesarkan Jebat bersama-sama.

“Nak kata ke arah rumah tangga semakin elok itu subjektif. Apa yang saya utamakan sebagai seorang manusia adalah nak berkawan dengan dia. Dia adalah wanita dan ibu kepada anak saya dan kami matang dalam menguruskan hal ini.

“Saya bapa kepada Jebat. Saya tak boleh buang masa, abaikan tanggungjawab seperti makan minum dan pakaian Jebat. Nabila, dia laksanakan tanggungjawab sebagai ibu. Setiap hari saya berhubung dengan Nabila tanya pasal Jebat,” katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata belum masanya lagi untuk membincangkan soal rumah tangga mereka. Kata Sharnaaz lagi, mereka mungkin tidak berjaya dalam perkahwinan tetapi menjalankan tugas yang baik dalam ‘co-parenting’.

“Untuk kami bincang soal perkahwinan, saya rasa mungkin tak sesuai. Itu saja. Tetapi untuk ‘co-parenting’, saya tak ada masalah. Saya nak Jebat gembira.

“Mungkin sebagai suami isteri kami tak berjaya, tapi ‘co-parenting’ kami berjaya. Apa salahnya?” katanya lagi.

Difahamkan, kes penceraian Sharnaaz dan Nabila masih berjalan. Januari lalu, Nabila mendedahkan tiada sebarang usaha damai dilakukan Sharnaaz sepanjang setahun tinggal berasingan. Kata Nabila lagi, dia sudah tawar hati dan sepatutnya proses perceraian boleh selesai dengan cepat.