Pelakon Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menumbuk dan menendang penghuni di sebuah kondominium pada 16 Jun tahun lalu.
Memetik mStar Online Sharnaaz membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.
BACA: Tiba Di Mahkamah, Sharnaaz Ahmad Ucap Selamat Pagi
Pelakon itu didakwa melakukan tindakan tersebut pada 16 Jun 2022 jam 8.30 malam ketika berada di kawasan lif sebuah kondominium dipercayai dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguma yang mewakili Sharnaaz, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah dikenakan dengan alasan OKS memberi kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan.
Majistret kemudian membenarkan Sharnaaz diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes.