fbpx

Sharifah Shahirah Syukur Anak Dapat 2A SPM

Pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah, meluahkan rasa syukur anaknya, Airell Zulkifly lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun hanya memperoleh 2A.

Memetik Harian Metro, Sharifah Shahirah atau mesra disapa Shiera berkata dia berpuas hati dengan keputusan anaknya itu yang memperoleh A dalam subjet Matematik dan Bahasa Inggeris.

BACA: Sharifah Shahirah Dedah Sharifah Sakinah Tunang Gaya Barat

“Alhamdulillah, saya bersyukur saja dengan keputusan Airell walaupun hanya mendapat 2A. Apa yang pasti, dia lulus dan sudah berusaha sebaik mungkin.

“Melihatkan kepada keputusan SPM itu, rata-ratanya mata pelajaran yang Airell lulus dengan baik mampu memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian di universiti dalam jurusan pilihannya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Shiera berkata dia menerima dengan hati terbuka sekiranya anaknya gagal kerana apa yang penting baginya dia mahu Airell menjadi insan berguna serta berbakti kepada masyarakat.

“Saya lebih menekankan Airell agar menjadi insan yang berguna dan mampu berbakti kepada masyarakat, suka menolong orang dan saya juga tidak kisah sekiranya dia bekerja dengan gaji kecil nanti.

“Asalkan dia bekerja dan boleh berdikari dengan membantu orang lain suatu hari nanti, sudah cukup. Apa-apa pun, saya tetap akan menghantar dia (Airell) melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, sekurang-kurangnya ada diploma,” katanya.

Sementara itu, Shiera berkata buat masa ini anaknya bekerja sambilan sebagai juruwang di kedai makan milik suaminya, Ijoy Azahari. Ujarnya lagi, tugas itu sesuai dengan anak lelakinya yang tidak banyak bercakap.

Shiera mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ijoy pada 28 Februari 2003. Pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Airell, Airra, Audra dan Adeena.

Shiera turut seorang anak perempuan, Allisya Tahir, hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Jatt yang juga penyanyi Black Dog Bone.