fbpx

Shahrol Shiro Pernah Anggap Alif Satar Poyo

Menerusi satu perkongsian di Instagram, pelawak Shahrol Shiro mengimbas kembali kenangan sewaktu pertama kali bekerjasama dengan penyanyi Alif Satar dalam sebuah program pada tahun 2014.

Shahrol berkata, detik pertemuan pertama mereka pada awalnya sedikit kekok. Malah, Shahrol juga berkata dia susah untuk menerima cara Alif yang dianggap poyo dan menjengkelkan.

BACA: Sakit Kepala Teruk, Shahrol Shiro Terpaksa Dibedah

“Tahun 2014 kali pertama aku berkenalan dengan seorang mamat bernama Alif Satar.Kitorang digandingkan dalam sebuah program ‘Sukalattew’.

“Minggu pertama sebelum start program tu aku cubalah berbual dengan dia. Masa berbual sikit-sikit cakap omputih, siap dengan kening terangkat sambil buat rolling eyes kat aku. Dalam hati ‘poyo gila mamat ni’ ni kompom jenis-jenis minum laga gelas dulu, nak buang air pun kat KLCC ni,” katanya.

Berikutan itu, Shahrol berkata dia hampir menarik diri dari program tersebut kerana menganggap gandingan mereka tidak serasi. Bertambah buruk, Shahrol juga mengetahui Alif juga kurang senang dengan dirinya yang dianggap agak kampung.

“Minggu tu aku mintak nak tarik diri sebab tak nak partner dengan mamat ni. Rupanya dia pun sama, tak nak partner ngan aku jugak. Katanya aku macam budak kampung. Sikit-sikit sebut nama Kluang. Macam lah ada Pavillion kat Kluang tu.

“Bos dah pening kepala. Dia cakap cubalah sampai sebulan dulu. Pelan-pelan kenal satu sama lain. Aku pun setuju. Hadap je la dia berbual dan cuba kenal dia lebih rapat,” kongsinya.

Bagaimanapun Shahrol berkata tanggapannya meleset apabila dia berkenalan lebih rapat dengan penyanyi itu kerana Alif merupakan seorang sahabat yang sangat baik.

“Rupanya apa tanggapan aku selama ni jauh meleset. Bila ada masalah aku luahkan dia pendengar yang baik dan dia cuba bantu semampu yang boleh.

“Kepala sama je gila-gila dengan aku. Break masa latihan akan solat asar sama-sama. Jauh dari budak moden yang ke arah barat yang aku sangka sebelum ini.

“Lama kelamaan hubungan itu sangat rapat. Masa aku kahwin dia lah pengapit aku. Gambar 2014 itu adalah hari terakhir program ‘Sukalattew’.

Dalam pada itu, Shahrol turut menitipkan nasihat kepada semua agar tidak terlalu cepat menilai seseorang hanya dari luaran sahaja dan jangan menilai seseorang itu dengan hanya mendengar daripada mulut orang lain.