fbpx

Shahir Bertunang Hari Ini, Gadis Tawau Jadi Pilihan Hati

Penyanyi Shahir Zawawi bakal bergelar tunangan orang hari ini dengan gadis pilihan hatinya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Memetik Kosmo, Shahir berkata majlis pertunangan mereka sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur namun dubah ke kediaman keluarga pihak perempuan.

BACA: Shahir Tunang Bulan Depan, Erra Fazira Ucap Tahniah

“Alhamdulillah, segala urusan untuk majlis ini berjalan lancar hasil bantuan keluarga serta kawan terdekat yang turut sama membuat persiapan akhir.

“Bukan saja dapat mengenali saudara maranya yang memang ramai di situ, saya juga ambil kesempatan untuk bawa emak abah jalan-jalan di Tawau. Ikutkan empat hari kami ada di sana.

“Dari Kuala Lumpur rombongan kami hanya berenam membabitkan saudara terdekat dengan membawa bersama lima dulang hantaran,” katanya.

Terdahulu, Shahir berkata dia tiada niat untuk sembunyikan wajah bakal isterinya itu namun akan mendedahkan selepas majlis pertunangan mereka.

Meskipun tidak mendedahkan wajah wanita tersebut, namun carian Kosmo! Online dapat menjejak akaun Instagram wanita yang membahasakan dirinya sebagai Ekin.

“Bukan saya sorokkan dia, kalau ada yang terjumpa kami di mana-mana lokasi ketika uruskan persiapan hari kenduri saya tak akan mengelak.

“Cuma untuk kongsi gambar dia di media sosial bukan sekarang. Saya belum dapat ‘lesen’ sebab kami tiada ada apa-apa ikatan lagi. Tunggu lepas tunang. Lagipun dia jenis ‘low profile’. Dia belum biasa dengan senario kerjaya saya, biar dia kenal situasi ini secara perlahan-lahan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahir memaklumkan selepas bertunang, dua majlis resepsi bakal menyusul beberapa bulan selepas itu iaitu di Kuala Lumpur dan Tawau, dua minggu kemudian.

Lebih manis, Shahir berkata dia akan mendendangkan sebuah lagu khas luahan hati pada permaisuri hatinya pada hari persandingan nanti.

“Sebenarnya sekarang saya dalam proses menghasilkan lagu tersebut dengan dibantu rakan seperjuangan saya, Oja. Itu adalah luahan ketulusan saya terhadapnya.

“Dia pun belum tahu mengenai lagu ini, tapi tak mengapa saya dedahkan lebih awal berkenaan kejutan istimewa ini. Lirik dendangan ini hanya akan saya perdengarkan kepadanya selepas kami sah jadi suami isteri,” katanya.