Kerajaan Selangor mengumumkan pengurangan kadar sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember ini bagi membantu peniaga berdepan tekanan kos susulan krisis bekalan dan tenaga global.

Inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu melibatkan semua 12 PBT di negeri berkenaan dan dijangka memberi manfaat kepada 21,234 peniaga dengan peruntukan RM4.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut akan disalurkan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga.

“Komuniti penjaja yang menyewa kedai dan gerai di premis PBT merupakan usahawan barisan hadapan yang mewakili ekonomi harian rakyat.

“Demi menggalakkan mereka supaya terus berniaga tanpa meningkatkan harga makanan kepada rakyat, Kerajaan Negeri akan menawarkan pengurangan kadar sewa di premis PBT sebanyak 30 peratus di semua PBT bagi tempoh enam bulan bermula Julai sehingga Disember 2026.

KREDIT GAMBAR UTAMA: HARIAN METRO

“Bantuan ini akan memanfaatkan seramai 21,234 peniaga dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta daripada Kerajaan Negeri,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, semalam.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai respons kerajaan negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Menerusi pakej berkenaan, beberapa langkah intervensi dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kenaikan kos terhadap rakyat dan sektor perniagaan, termasuk tekanan harga akibat gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.

×