Semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pendedahan oleh sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimana ada segelintir artis dan Instamous dipercayai terlibat dalam sindiket pelacuran kelas atasan.

Susulan itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak menolak dakwaan kewujudan selebriti terbabit dalam sindiket itu. Bagaimanapun Zed Zaidi berkata, ia hanya membabitkan segelintir kecil selebriti yang mencari kemewahan secara mudah.

BACA: Artis Raih RM40,000 Puaskan Nafsu Seks Orang Kenamaan

“Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan yang tidak setara dengan pendapatan mereka. Ia sekali gus menunjukkan yang mereka mungkin terbabit dengan perkara itu.

“Apa yang kita bimbangkan adalah hanya disebabkan segelintir selebriti, ia boleh mencemarkan imej industri hiburan tanah air,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Zed berkata dengan peluang kerja yang terhad dan krisis pandemik COVID-19 secara tidak langsung membuatkan mereka terjebak dengan kegiatan negatif itu.

“Seniman sebenarnya boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terbabit bagi menyediakan garis panduan terhadap perkara ini.

“Namun, jika kita lihat dengan kes yang berlaku sekarang, perkara ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi terbabit untuk urusan lanjut.

Kata Zed lagi, pihak Seniman juga mempertimbangkan untuk menyerai hitam selebriti yang didapati bersalah. Selain pelacuran, Seniman tegas membanteras isu pengubahan wang haram, rasuah, jenayah dan lain-lain membabitkan golongan selebriti.